AIMI dari UiTM meraih pingat emas bagi kategori TK1 wanita. -FOTO SUKIPT
AIMI dari UiTM meraih pingat emas bagi kategori TK1 wanita. -FOTO SUKIPT
Oleh Affan Rostam


Tanjung Malim: Prestasi cemerlang dua beradik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Aimi Ayuni Azwan dan Aisyah Farhanah Azwan berjaya membutirkan dua pingat emas buat kem kayak UiTM di Temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 sebentar tadi.

Aimi Ayuni yang beraksi dalam kategori TK1 wanita mengungguli perlumbaan di Tasik Marina kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan catatan masa 52.71 saat (s).

Manakala atlet politeknik Nur Atasha Nabila Saring meraih perak dengan catatan masa 53.07s dan tempat ketiga Nursaibah Syahida Ibrahim dari UPSI menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam tempoh satu minit.

Aimi Ayuni yang juga atlet kayak negara di Sukan Sea Hanoi 2022 berpuas hati dengan pencapaiannya kerana dia mengakui ini adalah pengubat dukanya ketika di Sukan Sea terbabit apabila tidak berjaya meraih sebarang pingat.

"Alhamdulillah saya gembira kerana berjaya sumbang emas buat UiTM pada penampilan SUKIPT pertama saya.

"Boleh kata emas ini adalah pengubat duka buat saya kerana gagal meraih pingat di temasya Sukan Sea Hanoi sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Sementara itu adiknya, Aisyah Farhanah Azwan yang bergandingan bersama Marina Muzaffa bagi kategori TK2 wanita tidak berdepan masalah untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama dengan catatan masa 52.57s sekali gus menyumbang emas kedua buat UiTM bagi acara kayak.

Perak kategori TK2 wanita dimenangi pasangan Politeknik, Nur Syahirah Fuad dan Nurul Najieha Zulkifli dengan catatan masa 53.63s. Atlet tuan rumah, Nurul Iffah Ilyana Zulkifli dan Nurul Sazila Rashidin melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan masa satu minit, dua saat.

Selain itu, Politeknik Malaysia turut cemerlang apabila berjaya meraih dua emas bagi kategori TK1 dan TK2 lelaki.

Bagi kategori TK1 lelaki dimenangi Muhammad Ridzuan Abdul Aziz dengan catatan masa 45.55s dan TK2 lelaki dimenangi gandingan Muhammad Bahij Rabbani Mohamad Rizal dan Muhammad Fakhrullah Mohd Rumazie selepas merekodkan masa 43.77s.

Tuan rumah turut cemerlang apabila menyumbang satu emas menerusi Muhammad Shafik Ikhwan Hamzah dan Roqaiyah Nor Amran bagi kategori TK2 campuran selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama dengan catatan masa terpantas iaitu 48.98s.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 12:27 PM