SUHAIMI tekad elak pintu golnya daripada dibolosi Sri Pahang FC dalam aksi Piala Malaysia. FOTO TFC
SUHAIMI tekad elak pintu golnya daripada dibolosi Sri Pahang FC dalam aksi Piala Malaysia. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penjaga gol Terengganu FC (TFC), Mohd Suhaimi Husin tekad untuk mengawal pintu golnya daripada dibolosi Sri Pahang FC dalam pertembungan tetangga Pantai Timur saingan pusingan 16 pasukan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur Kuantan, Khamis ini.

Bekas penjaga gol Terengganu FC II (TFC II) itu juga percaya rakan sepasukannya juga mempunyai misi sama untuk melakar kemenangan walaupun sedar bukan mudah untuk memburu kemenangan beraksi di tempat lawan sebelum aksi timbal balik pada 1 November depan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tambah pemain yang memulakan kariernya bersama pasukan kelab dari Terengganu, Hanelang FC, kehadiran dua pemain naturalisasi Tok Gajah, Lee Tuck dan Sergio Aguero sudah pasti bakal menambah ancaman kepada pasukannya.

Bagaimanapun pemain berusia 28 tahun itu percaya, barisan kejurulatihan yang diketuai Nafuzi Zain sudah mempunyai perancangan yang rapi untuk melakar kemenangan dalam aksi pertama Piala Malaysia itu.

"Atas kertas sudah pasti cabaran getir bakal dihadapi untuk mempertahankan pintu gol daripada dibolosi pasukan lawan terutama dengan kehadiran dua pemain naturalisasi mereka itu selain penyerang sedia ada, Steven Rodriguez dan Manuel Hidalgo.

"Situasi ini ditambah dengan prestasi pasukan kendalian Datuk Dollah Salleh itu semakin meningkat sebagaimana dapat disaksikan dalam aksi terakhir Liga Super, jadi sudah tentu ianya bakal menjadi ancaman besar kepada kami.

"Namun saya sudah bersedia selain mengharapkan rakan sepasukan terutama barisan pertahanan mampu menggalas tugas dengan berkesan untuk menyekat rangkaian penyerang mereka daripada bergerak bebas," katanya memaklumkan belum pasti bakal diturunkan kerana dua lagi penjaga gol, Rahadiazli Rahalim dan Mohd Shamirza Yusoff juga berada pada tahap terbaik.

Berdasarkan prestasi semasa, Suhaimi adalah calon utama posisi berkenaan selepas beraksi cemerlang dalam lima perlawanan berturut-turut dengan hanya melepaskan empat gol.

Dalam pada itu Suhaimi yang mengidam untuk beraksi bersama skuad kebangsaan menyokong Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melakukan perubahan peraturan 'away goal' menjadikan pentas Piala Malaysia akan menjadi lebih berdaya saing dan seimbang.

"Bagi saya ianya lebih seimbang dan adil serta terbuka buat semua pasukan terutama dalam misi untuk memburu tiket ke final trofi berprestij itu," katanya.

Terdahulu MFL mengesahkan kelebihan jaringan di tempat lawan dimansuhkan selaras dengan perubahan terkini AFC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 1:45 PM