NAFUZI (kiri) mengotakan janjinya apabila kepalanya dicukur oleh pemainnya di bilik persalinan pemain selepas TFC melangkah ke final Piala FA, Sabtu lalu. FOTO Ihsan TFC
NAFUZI (kiri) mengotakan janjinya apabila kepalanya dicukur oleh pemainnya di bilik persalinan pemain selepas TFC melangkah ke final Piala FA, Sabtu lalu. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Berikutan kejayaan Terengganu FC (TFC) mara ke pentas final Piala FA musim ini, pengendalinya Nafuzi Zain mengotakan janjinya apabila membotakkan kepalanya pada Sabtu lalu.

Selain pengendali muda kelahiran Kelantan itu, turut membotakkan kepalanya penolong pengurus TFC, Zulfadli Rozi yang dilakukan pada hari sama.

Apa yang menarik, tugasan membotakkan rambut Nafuzi dan Zulfadli dilakukan pemainnya sendiri sambil dibantu pihak pengurusan di bilik persalinan pemain di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak sebaik skuad Penyu merakam kemenangan menundukkan Selangor FC untuk layak ke final.

Dengan nazar yang ditunaikan pengendali itu, kini skuad Penyu mempunyai dua pengendali botak termasuk penolong jurulatihnya, Hairuddin Omar yang sudah lama berimej botak.

"Sebenarnya nazar untuk botak kepala ini sudah lama, sejak tahun lepas lagi jika pasukan TFC dapat melangkah ke pentas final.

"Jadi tahun ini baharu dapat tunai (botak kepala) yang dilakukan oleh pemain di dalam bilik persalinan pemain selepas pasukan berjaya masuk final.

"Selain itu saya juga berniat untuk berpuasa sunat tiga hari iaitu mulai hari Ahad hingga Selasa," kata Nafuzi yang pernah membantu Terengganu menjulang Piala Malaysia pada 2001.

Pada aksi mendebarkan Sabtu lalu, berbekalkan sokongan padu lebih 33,000 peminat setia, skuad Penyu berjaya melangkah ke pentas final sesudah 11 tahun menanti hasil kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan sehingga masa tambahan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 2:25 PM