SESI latihan skuad Penyu. -FOTO Ghazali Kori
SESI latihan skuad Penyu. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Tonik tambahan buat Terengganu FC (TFC) apabila kerajaan negeri bakal memberikan Insentif kepada pemain sekiranya mereka berjaya melangkah ke pentas final dan seterusnya menjulang trofi Piala Malaysia musim ini.

Berita gembira buat pemain skuad Penyu itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah yang meletakkan harapan yang tinggi agar TFC berjaya menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Inskandar Puteri, malam ini.

"Bonus pada setiap kemenangan itu sudah ada buat pemain, tapi jika mereka berjaya melangkah ke pentas final dan seterusnya menjulang trofi berprestij itu, kerajaan negeri bakal memberi imbuhan sebagai penghargaan kepada pemain.

"Bagaimanapun bentuk Insentif itu belum diputuskan lagi, namun yang penting pemain perlu memperagakan aksi terbaik dengan semangat kesukanan yang tinggi bagi melakar kemenangan dan seterusnya ke final.

"Saya yakin dan percaya jika pemain beraksi bagaikan pentas final dengan semangat melawan yang tinggi hingga minit terakhir perlawanan, TFC mampu melakar satu lagi sejarah layak ke pentas final sekali gus mengintai peluang memburu kejuaraan kedua Piala Malaysia selepas kali pertama pada 2001," katanya ketika dihubungi.

TFC yang sekadar seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin lalu bakal berdepan laluan getir kerana kelebihan jaringan di tempat lawan memihak kepada JDT, namun rekod di Stadium Sultan Ibrahim itu sudah dicalar TFC hasil kemenangan 1-0 pada aksi Liga Super April lalu menerusi jaringan Hakimi Abdullah.

Dalam pada itu Wan Sukairi mengharapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mempertimbangkan denda yang dikenakan kepada Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd atas pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penonton ketika aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang JDT, Isnin lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 1:02 PM