SKUAD TFC bergambar di  Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.  FOTO Asyraf Hamzah
SKUAD TFC bergambar di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya. FOTO Asyraf Hamzah
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri menggesa pihak pengurusan, barisan kejurulatihan dan pemain Terengganu FC (TFC) tidak patah semangat, sebaliknya terus fokus menjelang aksi separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia berdepan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak pada Isnin minggu depan dalam misi mara ke pentas final.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdulah berkata, walaupun ketinggalan dua jaringan, masih ada 90 minit lagi untuk pemain memadam defisit.

Pada masa sama beliau meletakkan harapan tinggi agar pemain tidak menjadikan isu luar padang itu mengganggu rentak permainan kerana masih ada harapan untuk mencipta sejarah mara ke final.

"Saya mohon kedua-dua belah pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan fokus satu lagi separuh akhir kedua minggu depan. Begitu juga pemain, peluang untuk melangkah ke final tetap ada walaupun ketinggalan dua jaringan.

"Jadi janganlah 'gelora' yang berlaku di luar padang memberi kesan kepada pemain. Masing-masing perlulah bersikap profesional dan berlapang dada serta tumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan yang bakal menjadi penentu sama ada layak ke final atau sebaliknya.

"Buat peminat setia, berilah kata-kata motivasi sama ada secara langsung ataupun dalam media sosial kerana ianya mampu membangkitkan semangat juang tinggi dalam kalangan pemain apatah lagi bakal beraksi di laman sendiri pada 21 November ini," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Nafuzi meluahkan kekecewaan secara terbuka mengenai layanan pihak pengurusan yang bagaikan tidak menghargai pengorbanannya sebelum pihak pengurusan 'membuka mulut' menjawab dakwaan dilontarkan pengendali kelahiran Kelantan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 2:44 PM