DOLLAH kecewa dengan aksi anak buahnya bertemu TFC malam tadi. FOTO MALIK MUHAMAD
DOLLAH kecewa dengan aksi anak buahnya bertemu TFC malam tadi. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Sri Pahang FC dalam kedudukan bahaya," demikian reaksi pengendali skuad itu, Dollah Salleh selepas pasukannya kini menghuni di tangga kesembilan Liga Super dengan mengumpul 17 mata daripada 17 perlawanan.

Pada aksi seteru setempat menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi, skuad Tok Gajah bagaikan hilang taring selepas tunduk 0-2 sekali gus mengesahkan TFC sebagai gergasi Pantai Timur.

Malah lebih memeningkan kepala pengendali berpengalaman itu aksi serba tidak menjadi diperagakan anak buahnya dengan dua gol mudah dihasilkan pemain skuad Penyu menyaksikan misi untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata lebur.

"Malam ini (malam tadi) kelihatan aksi pemain teruk dan serba tidak menjadi selain kurang bermaya, saya pun tidak pasti apa puncanya, nak cakap keletihan kita dah rehat secukupnya, jika persembahan sebegini berterusan dipamerkan pemain, kami tidak akan ke mana-mana.

"Malah kita pun menghampiri zon bahaya dengan perbezaan mata yang tidak jauh dengan kelompok bawahan liga, ini yang merisaukan, jika kita seri pada aksi bertemu TFC sekurang-kurangnya dapatlah satu mata, saya begitu hampa," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi.

Bagaimanapun bekas pengendali skuad kebangsaan itu enggan menyalahkan mana-mana pemain sebaliknya masih percaya masa masih ada buatnya untuk memperbaiki kedudukan dengan berbaki lima perlawanan lagi.

Malah menurut Dollah, jika anak buahnya berusaha lebih keras lagi, skuadnya mampu mengelak daripada terjerumus di kedudukan bawahan liga biarpun sedar untuk merealisasikannya tugas begitu sukar.

"Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pemain berikutan prestasi pasukan, semua perlu bertanggungjawab termasuk barisan jurulatih mengenai kekalahan ini.

"Kita akan buat homework kerana saya tetap percaya selain menaruh harapan yang tinggi pemain akan bangkit pada aksi seterusnya bagi mengelak kita kehilangan mata lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 2:56 PM