MALONEY tamat kontrak bersama FAM.
MALONEY tamat kontrak bersama FAM.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengunduran Brad Maloney sebagai jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara tidak bermakna beliau sudah serik sebaliknya akan bangkit kembali selepas ini.

Semalam Maloney, 50, yang berasal dari Australia mengesahkan mencapai persetujuan secara bersama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melepaskan jawatan selaku pengendali B-23 negara meskipun kontraknya hanya akan berakhir hujung tahun ini.

Jelas Maloney, beliau mahu berehat seketika sebelum memikirkan sebarang tawaran untuk melatih mana-mana pasukan selepas ini.

"Buat masa ini, saya akan mengambil masa ini untuk berehat sambil menikmatinya bersama keluarga dan rakan-rakan sebelum merangka langkah kerjaya seterusnya," katanya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh lapan tahun berkhidmat bersama FAM bermula sebagai penolong jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee pada 2014 lalu, sudah banyak ilmu dan pengalaman ditimba dalam meningkatkan karier kejurulatihannya.

"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FAM kerana memberi saya peluang untuk melatih pelbagai peringkat pasukan kebangsaan sejak lapan tahun lalu, ia adalah satu keseronokan.

"Setinggi-tinggi penghargaan ditujukan kepada kakitangan kejurulatihan yang bersama saya sejak 2014 semasa saya menjadi penolong jurulatih Datuk Ong Kim Swee dan sehinggalah saya kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih B-19, seterusnya kebangsaan B-23.

"Ia satu perjalanan menakjubkan, melihat besarnya bakat sepanjang perjalanan dan saya juga mesti berterima kasih kepada pemain atas semua kerja keras dan bakti mereka selama ini. Saya mendoakan semoga mereka berjaya dalam kerjaya," katanya.

Kemuncak bersama pasukan kebangsaan adalah pada 2019 apabila beliau dilantik sebagai ketua jurulatih B-19 tahun negara yang menyaksikan pasukan itu muncul naib juara Kejuaraan AFF, selain turut layak ke Piala Asia B-20 pada 2020 sebelum ia dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

Sentuhan Maloney terus menyinar bersama skuad B-23 apabila layak sekali lagi ke Piala Asia 2022 selepas muncul juara peringkat kelayakan yang berlangsung di Mongolia tahun lalu.

Begitupun rentak itu gagal diteruskan sepanjang tahun ini apabila pasukan negara gagal dalam tiga kejohanan dilalui bermula Kejuaraan AFF Februari lalu apabila tidak melepasi peringkat kumpulan selain gagak membawa pingat daripada temasya Sukan Sea di Vietnam Mei lalu.

Prestasi negatif turut diperagakan dalam Piala Asia B-23 di Uzbekistan apabila Malaysia tewas dalam semua aksi kumpulan sekaligus memaksa Maloney untuk melepaskan jawatannya lebih awal yang dicapai atas persetujuan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 2:37 PM