BRAD Maloney. FOTO FB FAM
BRAD Maloney. FOTO FB FAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini melepaskan ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23), Brad Maloney secara persetujuan bersama oleh kedua-dua belah pihak.

Ia dicapai selepas Maloney, 50, hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM yang dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM, pagi tadi bagi membentangkan laporan prestasi pasukan kendaliannya pada Sukan Sea 2021 di Vietnam, Mei lalu dan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Jun lalu.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, Maloney merakamkan ucapan terima kasih kepada FAM kerana memberi peluang untuk beliau berkhidmat selama lapan tahun sejak 2014 apabila ia banyak membantu dalam meningkatkan karier kejurulatihannya.

"Bermula sebagai penolong jurulatih B-23 kebangsaan kepada Datuk Ong Kim Swee sehinggalah dilantik sebagai ketua jurulatih B-19 kebangsaan pada 2019 dan seterusnya ketua jurulatih B-23 kebangsaan.

"Selamat maju jaya kepada Maloney dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini. Jasa dan sumbangan beliau sepanjang lapan tahun bersama FAM ini akan sentiasa dikenang," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Saifuddin berkata, nasib Maloney hanya akan diketahui selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 21 Julai ini dan bukannya hari ini.

Kedudukan Maloney sebelum ini dilaporkan seperti 'telur di hujung tanduk' ekoran kegagalan pasukan B-23 menyinar di tiga kejohanan bermula daripada saingan Piala AFF B-23 di Kemboja diikuti temasya Sukan Sea Vietnam dan Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

Di Piala AFF pada Februari itu, Malaysia terkandas di peringkat Kumpulan B apabila tewas dua kali di tangan Laos yang sebenarnya cukup memalukan.

Di Sukan Sea pula, perjalanan skuad negara terhenti di separuh akhir selepas tewas kepada tuan rumah Vietnam dan kemudiannya gagal di penentuan pingat gangsa kepada Indonesia.

Rentak sumbang terus diperagakan di Piala Asia apabila skuad muda negara tumbang dalam semua tiga aksi Kumpulan C.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 3:57 PM