(DARI KIRI) Hodah, Maloney dan Mora tiga pengendali asing yang dikaitkan dengan kekosongan yang ditinggalkan Cheng Hoe.
(DARI KIRI) Hodah, Maloney dan Mora tiga pengendali asing yang dikaitkan dengan kekosongan yang ditinggalkan Cheng Hoe.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Nama tiga jurulatih asing dikaitkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang mengumumkan pengundurannya, kelmarin.

Tiga individu berkenaan adalah jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak dan calon paling hangat, Brad Maloney yang kini membimbing skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Ketiga-tiga calon terbabit hangat diperkatakan di media sosial ketika ini, dengan masing-masing memiliki keupayaan melatih skuad negara yang berdepan misi penting untuk layak ke Piala Asia di China tahun depan.

Malah berdasarkan merit, semua individu itu dilihat pilihan ideal dan tepat memandangkan mereka sudah lama menabur bakti di negara ini sama ada dalam saingan Liga Malaysia mahupun bersama skuad kebangsaan, sekali gus cukup mengenali selok belok dan budaya bola sepak di Malaysia.

Begitupun, menurut sumber terdekat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang enggan dikenali, Maloney kemungkinan diangkat sebagai jurulatih asing ke-17 untuk mengendalikan pasukan negara sejak 1963.

Malah berdasarkan rekod, beliau bakal muncul pengendali ketiga dari Australia yang pernah dilantik menduduki kerusi panas itu selepas David MacLaren pada 1970 dan Ken Worden 1992-1993.

"Mungkin beliau (Brad Maloney). Ini kerana untuk tahun ini, tugasan skuad B-23 terlalu banyak dengan tiga hingga empat kejohanan yang perlu dilalui oleh pasukan muda negara.

"Tetapi untuk skuad senior, mereka hanya bertanding dalam (pusingan ketiga) Kelayakan Piala Asia yang dilangsungkan pada Jun nanti.

"Jadi mungkin buat sementara, beliau calon paling hampir kerana skuad B-23 adalah selangkah untuk membimbing pasukan senior.

Apapun, dalam mesyuarat (Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan) akan memutuskan siapa pengganti buat Cheng Hoe," katanya.

Maloney, 50, bukan nama asing dalam sistem bola sepak kebangsaan apabila sudah bersama badan induk itu sejak 2014 dan pernah menjawat peranan sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya dan B-23 dari 2014-2018 di bawah Datuk Ong Kim Swee.

Pada 2019, bekas pemain Australia itu dilantik jurulatih B-19 hingga 2021 sebelum dinaikkan pangkat membimbing B-23.

Pencapaiannya cukup cemerlang apabila membawa skuad B-19 muncul naib juara Piala AFF pada 2019 selain turut melangkah ke pusingan akhir Piala Asia B-19 dan B-23 secara merit selepas muncul juara kumpulan di peringkat kelayakan.

Bagaimanapun, sentuhan dua lagi pesaing iaitu Mora dan Hodak juga tidak boleh diketepikan begitu saja, dengan Mora membantu JDT menggondol tiga trofi Liga Super (2019, 2020, 2021), dua kali Piala Sumbangsih (2020, 2021) dan sekali Piala Malaysia (2019).

Buat Hodak, bekas jurulatih Kelantan, JDT dan skuad B-19 negara itu mengecapi semua kejuaraan Liga Malaysia termasuk Liga Super (2012 bersama Kelantan dan JDT pada 2014), Piala FA (2012 dan 2013 dengan Kelantan), Piala Malaysia (2012 bersama Kelantan dan KL City pada 2021), Piala Sumbangsih dan juga menjuarai Piala AFF dengan skuad B-19 pada 2018 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:40 AM