HADI Fayyadh mengakui Maloney individu yang menepati janji, seorang penyayang dan adil. FOTO Reuters
HADI Fayyadh mengakui Maloney individu yang menepati janji, seorang penyayang dan adil. FOTO Reuters
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak mengakui Brad Maloney adalah individu yang sentiasa menyokong kerjayanya dan tidak pernah meragui kemampuannya.

Jelas Hadi, keputusan Maloney menamatkan kontrak sebagai jurulatih B-23 lebih awal sememangnya menyedihkan dengan dia melabelkan jurulatih dari Australia itu terbaik yang pernah ditemui.

"Tanpa ragu-ragu anda antara orang yang paling baik yang pernah saya temui dalam dunia bola sepak.

"Anda individu yang menepati janji, seorang penyayang dan seorang yang adil dan tidak pernah teragak-agak untuk melindungi kami.

"Saya tidak akan lupa bagaimana anda melayan dan mempercayai saya sejak awal, kerana itu saya akan sentiasa bersyukur.

"Ia adalah satu penghormatan dan keistimewaan untuk mempunyai anda sebagai jurulatih," katanya yang kini beraksi bersama kelab Jepun, Azul Claro Numazu.

Rabu lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencapai kata putus bagi melepaskan khidmat Maloney secara persetujuan bersama kedua-dua pihak.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata persetujuan terbabit dicapai selepas Maloney hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dipengerusikan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Untuk rekod, Maloney, 50, bermula sebagai Penolong Jurulatih B-23 Kebangsaan kepada Datuk Ong Kim Swee sehinggalah dilantik sebagai Ketua Jurulatih B-19 Kebangsaan pada 2019 dan seterusnya Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 7:59 PM