SKUAD PJ City FC tekad cipta kejutan ke atas JDT dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, esok. FOTO Ihsan PJ City FC
SKUAD PJ City FC tekad cipta kejutan ke atas JDT dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, esok. FOTO Ihsan PJ City FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kehadiran semula penyerang kebangsaan, Darren Lok, dalam kesebelasan utama pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC diyakini mampu memberi impak positif terhadap kekuatan pasukan itu dalam mendepani cabaran Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super, malam esok.

Penyerang berpengalaman itu tidak beraksi pada pertembungan dengan Penang FC di gelanggang lawan pada aksi 18 Jun lalu kerana penggantungan.

Pengurus pasukan, K Rajendran berkata, Darren bakal kembali dalam kesebelasan utama skuad berkenaan pada pertembungan dengan JDT, di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, esok.

Katanya, skuad bimbingan P Maniam sudah membuat persiapan rapi dan merangka strategi terbaik termasuk menyenaraikan barisan pemain terbaik dalam misi mencuri mata walaupun beraksi di tempat lawan.

"PJ City akan turun ke Johor Bahru dengan barisan terbaik dan semangat kental dalam misi mencuri mata meskipun berhadapan dengan pasukan JDT yang bertaraf kelab Asia.

"Penyerang utama pasukan, Darren disahkan cergas dan akan berada dalam kesebelasan utama dan dia dijangka bakal membentuk gandingan bersama pemain di bahagian serangan seperti Mahali Jasuli, Kogileswaran Raj, Kumaahran dan Khyril Muhymeen.

"Pemain juga sudah dinasihatkan perlunya mereka beraksi secara luar biasa dan memberikan komitmen lebih 100 peratus, bagi memastikan saingan dapat diberikan dengan baik terhadap JDT dan seterusnya mendapatkan keputusan positif," katanya ketika dihubungi, hari ini.

PJ City yang menduduki tangga kesembilan carta Liga Super ketika ini sudah merekodkan tiga kekalahan dan tiga seri dengan mengumpul sembilan mata.

Mengulas lanjut, Rajendran sedar akan perjuangan sukar bakal diharungi pemain pasukan itu atas reputasi besar anak buah Benjamin Mora, yang setakat ini mereka belum mengalami sebarang kekalahan.

Meskipun begitu tegasnya, adalah bukan mustahil pemain skuad berkenaan untuk mencipta kejutan ke atas JDT, jika mereka dapat menunjukkan satu persembahan mantap dan berjaya meletakkan bola ke dalam gawang pasukan lawan itu.

Menurutnya, rekod juga menunjukkan pasukan PJ City pernah mencipta sejarah tersendiri dengan menafikan kehebatan pasukan JDT.

"Saya anggap bukan sesuatu yang mustahil untuk pemain PJ City mencipta keputusan yang baik di Johor Bahru malam esok kerana sebelum ini kami pernah melakukannya.

"Walaupun itu adalah cerita lama dan situasi ketika ini sudah banyak berubah, namun pemain PJ City akan bekerja keras untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang tempoh permainan dan akan berusaha mencuri mata dari gelanggang lawan itu nanti.

"Saya berharap mereka dapat kekal fokus dan mengurangkan kesilapan selain memastikan setiap perancangan serta strategi disusun jurulatih dapat terjemahkan dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 3:42 PM