DARREN (tengah) belum cergas sepenuhnya.
DARREN (tengah) belum cergas sepenuhnya.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Persiapan Petaling Jaya (PJ) City FC menghadapi Kedah Darul Aman (KDA) FC, dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam esok, mungkin sedikit terjejas berikutan situasi melanda tonggak mereka, Darren Lok.

Penyerang kebangsaan itu dikatakan belum cergas sepenuhnya untuk dipertaruhkan bagi menggalas cabaran di barisan depan skuad berkenaan.

Pengurus pasukan, K Rajendran berkata, Darren dilaporkan mengalami sedikit kecederaan ketika beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam kejohanan jemputan Piala Raja Thai 2022 yang berakhir, Ahad lalu.

Menurutnya, walaupun sudah hampir seminggu berlalu, tahap kecergasan pemain berkenaan mungkin tidak mencapai 100 peratus.

"Darren ada mengalami sedikit kecederaan dan situasi itu mungkin akan menyebabkan dia tidak dapat diturunkan sepenuhnya pada perlawanan menentang Kedah, malam esok.

"Namun begitu, sama ada dia dapat diturunkan atau sebaliknya, hanya akan dapat ditentukan menjelang perlawanan itu nanti. Setakat ini, kita sudah bersiap sedia dengan pemain lain seperti S Kumaahran dan N Ravendran serta Mahuli Jasuli dan Khairyl Muhaimeen, sebagai tonggak utama pasukan dalam perlawanan menentang Kedah, nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Darren tonggak penting PJ City kerana dia menjaringkan gol kemenangan pasukan itu ke atas Selangor. Malah, Darren juga berada dalam kelompok penjaring terbanyak Liga Super dengan 10 gol di belakang Bergson da Silva (17 gol), Fernando Forestieri (12 gol), Caion (11 gol) dan Ronald Ngah (9 gol).

Dalam pada itu, Rajendran berkata, pihaknya mahu pemain pasukan itu berusaha keras mengekalkan prestasi cemerlang bagi mendapatkan keputusan baik walaupun beraksi di gelanggang lawan.

Menurutnya, kejayaan mengutip empat mata daripada dua perlawanan terakhir sebelum ini iaitu menang ke atas Selangor FC, 1-0 pada 21 Ogos disusuli seri 2-2, dengan Johor Darul Ta`zim (JDT) pada 15 September lalu, harus diteruskan ke atas Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 4:33 PM