GIANNI INFANTINO
GIANNI INFANTINO
AFP

BOGOTA: Video Bantuan Pengadil (VAR) akan digunakan buat pertama kali di Piala Dunia Russia, tahun ini di sebalik kritikan dan tentangan berterusan dari dalam dan luar bola sepak, kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.

“Kami akan menggunakannya pada 2018, buat pertama kali, Piala Dunia dengan VAR,” kata Infantino selepas mesyuarat Majlis Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA), di sini, semalam.

“Perkara ini sudah diluluskan dan kami amat gembira dengan keputusan ini.”

Penggunaan VAR di Russia memang sudah dijangka selepas Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) pada mesyuaratnya, dua minggu lalu di Zurich, Switzerland memberikan lampu hijau terhadap keputusan itu.

Piala Dunia 2018 dijadual berlangsung pada 14 Jun hingga 15 Julai ini dengan VAR akan mengadili sama ada jaringan disahkan atau pun tidak selain keputusan membabitkan penalti, layangan kad dan membetulkan kesilapan terhadap pemain jika mereka menerima hukuman yang tidak sepatutnya.

“Apa yang kami mahu adalah membantu dan memberikan pengadil semua bantuan tambahan apabila mereka perlu membuat keputusan yang penting, dan pada Piala Dunia kami perlu melakukan keputusan yang amat penting,” kata Infantino.

“Tidak mustahil pada 2018 yang semua orang, di stadium atau di rumah, mengetahui dalam beberapa saat saja jika pengadil melakukan kesilapan tetapi pengadil itu sendiri tidak, tidak kerana dia tidak mahu tahu mengenainya atau kerana kami menghalangnya daripada tahu.

“VAR akan membantu pengadil dan kami akan akan mendapat perlawanan yang lebih terbuka dan adil, dan itulah yang kami mahukan.”

VAR ketika ini sedang melalui sesi percubaan sejak 2016 oleh 20 persatuan termasuk di Bundesliga Jerman, Serie A Itali membabitkan lebih 1,000 perlawanan.

Begitupun, ia tidak dialu-alukan semua pihak dengan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berkata ia masih belum meyakinkan.

“Semua orang tahu bagaimana VAR berfungsi. Ada begitu banyak kekeliruan,” kata Presiden UEFA, Aleksander Ceferin yang menegaskan VAR tidak akan digunakan dalam kempen Liga Juara-Juara pada musim depan.

Sementara itu, FIFA berkata mereka menarik semula larangan selama tiga dekad terhadap Iraq bagi menganjurkan perlawanan berstatus antarabangsa dengan bandaraya seperti Arbil, Basra dan Karbala diberikan lampu hijau untuk melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 10:16 AM