KANE menyempurnakan penalti buat England. -FOTO Reuters
KANE menyempurnakan penalti buat England. -FOTO Reuters
AFP

Munich, Jerman: Kapten England Harry Kane menjaringkan gol antarabangsa ke-50 dengan menyempurnakan sepakan penalti lewat perlawanan di Munich untuk mengikat Jerman 1-1 dalam aksi Liga Negara-Negara.

Jerman terlebih dahulu memecah kebuntuan apabila Jonas Hofmann merembat masuk gol tuan rumah di Allianz Arena, tetapi Kane menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki dua minit.

Pertahanan Jerman, Nico Schlotterbeck berlanggar dengan Kane di dalam kotak dan pengadil memberikan sepakan penalti kepada England selepas membuat semakan VAR.

Penyerang Tottenham kini menduduki tempat kedua, tiga gol ketinggalan kepada - Wayne Rooney dalam senarai penjaring terbanyak England sepanjang zaman melepasi jumlah 49 gol Bobbu Charlton.

"Ia satu perasaan yang sangat hebat," kata Kane .

"Saya mempunyai beberapa peluang awal dan berfikir ia mungkin salah satu daripada itu."

"Sangat bagus apabila dapat menjaringkan gol dan ia satu yang memalukan kami jika kami tidak dapat melakukannya," kata Kane yang percubaan awalnya dinafikan oleh Manuel Neuer.

England kendalian Gareth Southgate kekal di tangga tercorot Kumpulan A3 selepas tewas 1-0 di tangan Hungary di Budapest Sabtu lalu.

Jerman, yang akan bertandang ke Hungary Sabtu ini, satu mata di atas mereka di tangga ketiga dengan pengendalinya Hansi Flick melebarkan deretan tanpa kalahnya kepada 11 perlawanan, bermula sejak September tahun lalu.

Jerman, yang menyarung jersi skuad wanita kebangsaan mereka sebagai tanda sokongan menjelang Euro wanita bulan depan, dua kali membolosi England di babak pertama tetapi jaringan Thomas Mueller dan Hofmann tidak dikira kerana di luar permainan serta ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 8:12 AM