Jurulatih Jerman, Joachim Loew (empat kanan) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan. FOTO AFP
Jurulatih Jerman, Joachim Loew (empat kanan) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan. FOTO AFP
AFP

Munich: Jerman mahu melebarkan penguasaan mereka ketika berdepan England pada aksi kalah mati peringkat kejohanan antarabangsa dalam tempoh 55 tahun apabila kedua-dua pasukan gergasi itu bertemu lagi dalam kelompok 16 terakhir di Euro 2020, Selasa ini.

Jerman hampir dikejutkan Hungary selepas terikat 2-2 di Munich untuk mengesahkan perlawanan yang menjadi bualan ramai iaitu berdepan England kendalian Gareth Southgate di Wembley untuk memburu tempat ke suku akhir.

"Ia pastinya menjadi tumpuan, sekarang semuanya terserah kepada kami sendiri atau tiada apa-apa," kata ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew yang akan meletak jawatan selepas berakhir kejohanan setelah 15 tahun mengendalikan skuad itu.

Sejak England menewaskan Jerman 2-4 menerusi tambahan masa ketika menang final Piala Dunia 1966 apabila Geoff Hurst meledak hatrik di Wembley, pasukan Jerman sebaliknya memenangi semua empat aksi kalah mati di kejohanan utama.

Ia termasuk aksi separuh akhir Euro 96, juga di Wembley, apabila Southgate yang kini jurulatih England terlepas sepakan penalti penting apabila perlawanan terpaksa ditentukan pada penentuan penalti.

Ia diikuti tangisan mencuri tumpuan Paul Gascoigne di Turin sebelum Jerman sekali lagi menewaskan England menerusi penentuan penalti pada aksi separuh akhir Piala Dunia 1990 di Itali.

Keseluruhannya, Jerman hanya menang 13 daripada 36 perlawanan berbanding England yang mencatat 16 kemenangan, sementara tujuh perlawanan berakhir dengan seri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 8:49 PM