HASNUL ketika berdepan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
HASNUL ketika berdepan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pemain pertahanan Sri Pahang FC, Hasnul Zaim Zafri mahu terus membalas kepercayaan kelab itu sebaik saingan Liga Super bersambung.

Justeru, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata, kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih, Christophe Gamel tidak akan dipersia-siakan.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih (Gamel) yang memberi peluang kepada saya untuk bersama rakan lain mengawal benteng pasukan.

"Lebih-lebih lagi peluang bermain dalam skuad utama ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super pada 18 Mei lalu.

"Perlawanan itu amat berharga buat saya dalam meningkatkan prestasi dan pengalaman," kata pemain berusia 20 tahun iu.

Musim ini, Hasnul diberi kepercayaan selaku pemain utama dalam dua perlawanan, masing-masing satu dalam saingan Liga Super dan Piala FA.

Pada saingan Liga Super itu, Hasnul membantu Sri Pahang mengikat JDT 2-2 manakala memastikan skuad itu layak ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan skuad Projek FAM-MSN 3-0.

Mengulas pengalaman ketika berdepan JDT, Hasnul berkata, kepercayaan yang diberikan jurulatih selaku pemain utama memberi keyakinan kepadanya.

Selain itu, katanya, pengalaman beraksi dengan pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman turut membantu meningkatkan prestasinya.

"Saya gembira apabila disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika berdepan JDT dan kami berjaya mengikat JDT 2-2.

"Saya harap akan terus mendapat kepercayaan dan berada dalam kesebelasan utama sebaik liga bersambung nanti.

"Tempoh rehat saingan liga ini dimanfaatkan sebaik mungkin dalam meningkatkan prestasi kerana saya masih belum berpuas hati dengan pencapaian ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 2:44 PM