PENYERANG muda Sri Pahang FC, Syaahir (kanan). FOTO Ihsan Sri Pahang FC
PENYERANG muda Sri Pahang FC, Syaahir (kanan). FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Penyerang muda Sri Pahang FC, Muhammad Syaahir Saiful Nizam mahu membalas kepercayaan yang diberikan pengendali skuad itu, Christophe Gamel sebaik saingan Liga Super bersambung nanti.

Pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu berkata, peluang yang diberikan Gamel sentiasa dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha membantu skuad Tok Gajah beroleh kejayaan.

"Secara peribadi, saya berterima kasih kepada jurulatih (Gamel) yang memberikan kepercayaan biarpun memiliki penyerang import.

"Namun, setiap kali disenaraikan, saya sentiasa memberikan persembahan yang terbaik untuk membantu Sri Pahang.

"Setakat ini saya banyak belajar dengan pemain senior untuk meningkatkan prestasi dan keyakinan," katanya.

Berdasarkan rekod dalam saingan Liga Super musim ini, Muhammad Syaahir kali pertama disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika Sri Pahang berdepan Sarawak United pada 11 Mei lalu.

Selebihnya pemain berumur 19 tahun itu disenaraikan sebagai pemain gantian.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang FC (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang gembira dengan peningkatan prestasi yang dipersembahkan pemain muda.

Katanya, sebagai pemain muda terutama yang kali pertama bersama dalam saingan Liga Super musim ini, mereka berjaya membalas kepercayaan itu.

"Jika kekal dengan prestasi terbaik itu, saya percaya mereka boleh berada dalam kesebelasan utama seperti dipersembahkan ketika seri 2-2 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) 18 Mei lalu.

"Pada masa sama, mereka adalah anak jati Pahang yang diharap mampu membantu Sri Pahang beroleh kejayaan," katanya.

Antara pemain muda berkenaan ialah Muhammad Syaahir, Mohammad Saiful Jamaluddin, Hasnul Zaim Zafri, Muhammad Nur Izzat Che Awang dan Muhammad Sharul Nizam Mohd Nadzir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 4:40 PM