PEMAIN Sri pahang FC menjalani latihan di Muadzam Shah, Rompin. FOTO Sri Pahang FC
PEMAIN Sri pahang FC menjalani latihan di Muadzam Shah, Rompin. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Muadzam Shah di Rompin menjadi pilihan skuad Sri Pahang FC menjalani latihan yang bermula kelmarin, sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata tempoh tiga hingga empat minggu skuad kendalian skuad kendalian Christophe Gamel akan berada di Muadzam Shah.

Katanya, fokus latihan lebih kepada meningkatkan tahap kecergasan serta membentuk persefahaman kerana sebahagian besar pemain musim ini adalah muka baharu.

"Oleh itu pengurusan kelab mengharapkan semua pemain termasuk barisan kejurulatihan dapat memanfaatkan sebaik mungkin sesi latihan berkenaan.

"Saya percaya dengan komitmen ketua jurulatih (Gamel) serta displin semua pemain, Sri pahang akan tampil lebih baik," katanya.

Difahamkan, pemilihan Muadzam Shah berikutan keadaan cuaca tidak menentu di Kuantan terutama selepas daerah itu dilanda banjir, baru-baru ini.

Dengan berlakunya perubahan dalam pasukan, Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) musim ini mahu pencapaian cemerlang bakal menjadi milik skuad Tok Gajah.

Isnin lalu, Sri Pahang mengumumkan Gamel sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu manakala Dollah Salleh dilantik sebagai pengurus pasukan.

Ia termasuk pengumuman lapan pemain baharu iaitu bekas pemain pasukan remaja kebangsaan Perancis, Johan Martial, Fandi Othman, David Rowley, Sean Gan Gianelli, Muhammad Faizal Mohd Arif, Azwan Aripin, Wan Amirzafran Wan Nadris dan Wan Mohd Syazmin Wan Rozaimi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 2:10 PM