Gamel ketika hadir pada majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan musim 2022/2023 baru-baru ini. FOTO Asrol Awang
Gamel ketika hadir pada majlis menandatangani perjanjian penajaan kelengkapan sukan musim 2022/2023 baru-baru ini. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC (SPFC) mengesahkan Christophe Gamel dilantik sebagai ketua jurulatih baharu kelab berkenaan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.

Menerusi Facebook rasmi Sri Pahang FC hari ini, Gamel yang berasal dari Perancis akan mengendalikan skuad Tok Gajah.

Bagaimanapun, tempoh kontrak Gamel yang juga bekas penolong ketua jurulatih Sri Pahang pada awal musim 2021 bersama Sri Pahang FC tidak diumumkan.

Pada masa sama, sebelum ini jurulatih berusia 50 tahun itu adalah calon tunggal untuk mengisi jawatan berkenaan.

Sekali gus menamatkan teka-teki mengenai jawatan kerusi panas pengendali skuad Pantai Timur itu selepas khidmat Dollah Salleh dikatakan tidak disambung sebaik saingan Piala Malaysia berakhir musim lalu.

Menerusi video berdurasi 46 saat, Gamel mengesahkan beliau adalah ketua jurulatih baharu Sri Pahang musim 2022.

"Saya akan lakukan yang terbaik buat SPFC, terima kasih kepada pemilik dan Ahli Lembaga Pengarah SPFC di atas kepercayaan yang diberikan.

"Saya lihat banyak pengorbanan dilakukan pengurusan SPFC dan perkara yang penting ialah mentaliti, disiplin, dedikasi untuk lebih bersemangat," kata Gamel yang juga bekas ketua jurulatih Sri Pahang FC bawah 21 tahun musim lalu.

Berdasarkan pencapaian musim lalu, Sri Pahang menamatkan kedudukan ke-10 dalam saingan Liga Super manakala Piala Malaysia sekadar beraksi di peringkat kumpulan.

Difahamkan, pemilihan Gamel itu juga bersandarkan pengalaman termasuk pernah mengendalikan skuad kebangsaan Fiji.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 4:33 PM