CHRISTOPHE Gamel. FOTO Asrol Awang
CHRISTOPHE Gamel. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Christophe Gamel mengakui skuadnya bakal berdepan cabaran getir apabila berdepan Sabah FC di Stadium Likas, malam esok.

Jurulatih berasal dari Perancis itu berkata, kelebihan yang dimiliki pasukan tuan rumah itu berdasarkan prestasi dan kedudukan semasa dalam saingan Liga Super.

"Jika dilihat pada kedudukan dan keputusan perlawanan Sabah, peluang kami untuk membawa pulang mata agak berat.

"Sabah juga memiliki hampir sebahagian besar bekas pemain kebangsaan yang memiliki banyak pengalaman berbanding pemain Sri Pahang.

"Selain itu, mereka saling mengenali antara satu sama lain termasuk jurulatih (Datuk Ong Kim Swee).

"Jurulatih mereka juga mengenali pemainnya dengan begitu baik dan kini berada di tempat kedua di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT)," kata jurulatih berusia 50 tahun itu.

Namun, Gamel tetap meyakini anak buahnya mampu untuk menyerap tekanan pemain tuan rumah untuk memastikan sekurang-kurangnya satu mata dibawa pulang.

Katanya, perkara utama yang perlu dilakukan Sri Pahang ialah membentuk displin tinggi sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

"Kerjasama dan persefahaman akan diberikan perhatian untuk memberikan tekanan kepada lawan dan pada masa sama mampu menyekat kekuatan Sabah.

"Ini kerana Sabah memiliki barisan pemain yang serba lengkap," katanya.

Selepas mengharungi lapan perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan ketujuh liga dengan mengutip lapan mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 5:18 PM