Syafik mahu terus bantu negara lakar kemenangan. FOTO Ihsan FAM
Syafik mahu terus bantu negara lakar kemenangan. FOTO Ihsan FAM
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas 'mengajar' Thailand pada aksi pertama Sabtu lalu, pemain sayap skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Muhammad Syafik Ismail, 22, idam meneruskan rentak kemenangan berdepan Laos pada aksi kedua saingan Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, esok.

Pemain Terengganu FC (TFC) yang pernah menjalani latihan bersama pemain profesional di Old Trafford, Manchester United dalam program Mencari Ramli pada 2016 meletakkan harapan yang tinggi agar impian itu tercapai bagi memudahkan laluan skuad kebangsaan muncul juara Kumpulan B.

Anak kelahiran kampung Bukit Jetit, Marang berketinggian 1.58 meter (m) itu bagaimanapun menasihati diri dan rakan sepasukannya perlu memberikan komitmen 100 peratus dengan fokus sehingga minit terakhir perlawanan.

"Impian kami sudah tentu untuk memburu kemenangan kedua bagi mencerahkan lagi laluan bagi menjuarai peringkat kumpulan sekali gus layak ke peringkat separuh akhir.

"Jadi jika diturunkan sekali lagi esok, Syafik mahu membalas kepercayaan diberikan jurulatih, Brad Maloney dengan persembahan terbaik sebagaimana ketika menentang Thailand, Sabtu lalu walaupun sebagai pemain gantian.

"Bagaimanapun jika Syafik tidak diturunkan kerana strategi jurulatih, Syafik harap rakan sepasukan mampu memperagakan aksi terbaik dan konsisten dalam misi memburu tiga mata lagi," kata pemain yang lebih mesra dipanggil 'Kacang' ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Pada aksi pertama menentang skuad Gajah Perang yang memihak kepada pasukan negara 2-1, Syafik yang dimasukkan sebagai pemain gantian beraksi cemerlang di posisi sayap kanan termasuk berjaya melakukan hantaran mengelirukan untuk jaringan kemenangan negara dihasilkan Nur Azfar Fikri Azhar.

Mengulas lanjut, pemain yang boleh beraksi di bahagian sayap kanan dan kiri itu mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar episod malang dimalukan skuad Laos dengan kekalahan 1-2 ketika Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Kemboja, Januari lalu tidak berulang.

"Dalam bola sepak apa-apapun boleh berlaku, jadi kami tidak boleh memandang mudah keupayaan pasukan lawan yang sudah pasti hadir dalam misi sama merakamkan kemenangan.

"Bagaimanapun saya percaya strategi yang diatur jurulatih mampu memberikan keceriaan kepada pasukan," katanya yang mengharapkan peminat setia mendoakan kemenangan kedua pasukan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 1:58 PM