MUHAMMAD Nur Azfar Fikri Azhar. FOTO FAM
MUHAMMAD Nur Azfar Fikri Azhar. FOTO FAM
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Jaringan pertama ketika penampilan sulung di pentas Asia menambah semangat pemain sayap kiri skuad kebangsaan Bawah 22 Tahun (B-22), Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar atau lebih mesra dipanggil Kaka menjelang aksi kedua bertemu Mongolia esok.

Pemain Terengganu FC II (TFC II) itu yang meledak gol tunggal perlawanan ketika menumpaskan Laos 1-0 Isnin lalu menyatakan dia dan rakan sepasukannya kini berada pada prestasi terbaik untuk memburu kemenangan kedua pada aksi Kelayakan Piala Asia B-23 Kumpulan J di Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF).

"Jaringan pertama di pentas tertinggi pada penampilan sulung ketika menundukkan pasukan Laos sudah pasti menambah semangat saya untuk merakam kemenangan kedua berdepan tuan rumah.

"Selain untuk membantu pasukan menambah tiga mata lagi bagi mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan, impian peribadi saya sudah tentu untuk menambah koleksi jaringan.

"Bagaimanapun pada saya ia bukan perlawanan yang mudah berdepan skuad Mongolia yang sudah pasti memiliki kelebihan daripada segi cuaca kerana beraksi di tempat mereka.

"Selain itu keupayaan Mongolia mengikat Thailand 1-1 pada aksi pertama juga menyaksikan skuad itu bukan lawan yang mudah untuk ditewaskan.

"Namun kami sudah bersedia untuk berdepan dengan pasukan itu selain percaya ketua jurulatih, Brad Maloney sudah merangka strategi terbaik sebelum turun ke padang," katanya ketika dihubungi.

Skuad kebangsaan yang kini memimpin Kumpulan J mempunyai peluang cerah untuk layak beraksi di pusingan akhir Piala Asia B-23 Jun tahun depan di Uzbekistan jika mampu merakam kemenangan berdepan tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 7:20 PM