Pemain TFC II, Muhamad Syafik Ismail tekad untuk memburu tempat dalam skuad B23 Tahun negara. FOTO Ihsan FAM
Pemain TFC II, Muhamad Syafik Ismail tekad untuk memburu tempat dalam skuad B23 Tahun negara. FOTO Ihsan FAM
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap Terengganu FC II (TFC II), Muhammad Syafik Ismail meletakkan harapan yang tinggi pemilihan untuk menjalani sesi latihan bersama skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) pada kali ini bakal memberikan tuah buatnya untuk membuat penampilan pertamanya bersama pasukan negara.

Pemain berusia 21 tahun kelahiran Kampung Bukit Jetit, Marang yang sudah tiga kali terpilih menjalani sesi latihan bagaimanapun sedar bukan tugas mudah buatnya untuk merebut tempat dalam skuad kendalian Brad Maloney itu.

"Selepas tiga kali terpilih menjalani sesi latihan bersama skuad kebangsaan, saya mengharapkan tuah pada kali ini terpilih menyarung jersi kebangsaan buat kali pertama kerana itu salah satu misi saya sejak bergelar pemain profesional.

"Keyakinan itu tetap ada, tapi saya perlu memperagakan aksi sehabis baik lebih-lebih lagi tiga pemain Selangor FC 2 yang beraksi di posisi sama iaitu T Saravanan, Muhammad Khairi Suffian Khaineyusri dan Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan juga tidak kurang hebatnya.

"Tambahan pula latihan bersama skuad kebangsaan intensitinya cukup tinggi berbeza latihan ketika mewakili kelab, jadi sudah tentu cabarannya cukup besar untuk terpilih," katanya.

Sepanjang musim ini, bekas pemain skuad 'abang' Terengganu FC (TFC) musim lalu itu meledak satu gol bersama skuadnya musim ini dalam 14 penampilannya.

Ketika ditanya impiannya sekiranya berjaya menambat hati Maloney, pemain bertubuh kecil berketinggian 1.58 meter tekad untuk membantu pasukannya dalam saingan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) Kumpulan J yang bakal berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 25 Oktober ini.

"Setiap pemain sudah pasti mempunyai untuk membantu pasukan negara mencapai kejayaan, jadi sekiranya terpilih, kejohanan kelayakan di Mongolia menjadi medan terbaik buat saya untuk membuktikan kemampuan walaupun bertubuh kecil," katanya.

Senarai akhir 23 pemain negara yang bakal terbang ke Mongolia pada 20 Oktober ini bakal diketahui dalam masa terdekat sebelum pasukan negara membuat perhitungan dengan pasukan Laos pada 25 Oktober, diikuti tuan rumah Mongolia pada 28 Oktober dan terakhir menentang Thailand pada 31 Oktober bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada Jun tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 6:36 PM