SYAFIK (kanan) bekas pemain skuad Piala Belia Terengganu musim lalu. FOTO TFC
SYAFIK (kanan) bekas pemain skuad Piala Belia Terengganu musim lalu. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Muhammad Syafik Ismail mengidam untuk meledak gol sulung peribadi musim ini ketika menentang pasukan tercorot Liga Super, PDRM di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kampung Bukit Jetit, Marang itu akui bukan mudah untuknya meledak jaringan kerana sedar berdasarkan rekod, pintu gol skuad The Corps itu sukar ditembusi biarpun setakat ini skuad bimbingan Mohamad Ishak Kunju Mohamad itu belum merakam sebarang kemenangan.

Justeru, pemain berusia 20 tahun itu yang kerap diberi kepercayaan jurulatih, Nafuzi Zain dalam kesebelasan utama mahu memperagakan aksi lebih bertenaga selain pada masa sama perlu berwaspada dengan ancaman The Corps.

''Sejujurnya saya sudah tidak sabar lagi turun beraksi, impian utama saya untuk membantu pasukan mengutip tiga mata penuh selepas kempunan dalam tiga aksi terdahulu apabila tewas kepada Melaka, JDT dan UiTM.

''Jika saya dapat hasilkan jaringan, itu adalah bonus buat saya, lagipun musim pertama saya bersama TFC sudah tentu mahu memperagakan aksi terbaik selain mengintai gol pertama,'' kata bekas pemain skuad Piala Belia Terengganu musim lalu itu yang berjaya membantu pasukannya merangkul trofi itu.

Mengulas lanjut, pemain lincah berketinggian 1.57 meter itu mengharapkan rakan sepasukan mampu memperagakan aksi lebih agresif biarpun lawan hanya mempunyai dua tonggak import dan menghuni tangga terbawah liga.

"Kita perlu belajar daripada kesilapan lalu, kekalahan 1-2 kepada pendatang baharu Liga Super, UiTM Sabtu lalu perlu dijadikan pengajaran untuk kembali bangkit memburu kemenangan bagi mengintai kedudukan lebih baik dalam liga,'' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 6:59 PM