BARISAN pemain TFC meraikan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan. FOTO Ghazali Kori
BARISAN pemain TFC meraikan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) layak ke pusingan kedua saingan Piala FA selepas berjaya menumpaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad Penyu yang mendapat sorakan padu hampir 6,000 peminat setia bakal menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada pusingan kedua Mei depan.

Skuad kendalian Nafuzi Zain yang menurunkan dua penyerang berbisanya, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche bermula garang dengan percubaan pertama menerusi Tchetche pada minit pertama yang melepasi palang gol.

Selepas itu, larian solo Faisal Halim pada minit ke-20 hampir menemui gawang gol, namun percubaanya berjaya dihalang penjaga gol skuad Hobin Jang Hobin, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sekali gus terselamat pintu gol pelawat.

Seminit kemudian, Sherman memperoleh peluang terbaik untuk mencipta jaringan hasil lorongan cantik Habib Haroon dari tengah, tapi sekali lagi penjaga gol muda itu pantas menyelamatkan keadaan ketika hanya berdepan dengan penyerang kelahiran Liberia itu.

Usaha berterusan tuan rumah untuk memburu gol akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-28 selepas hantaran silang Syafik Ismail dari sebelah kiri pintu gol pelawat tertolak pertahanan yang juga kapten NSFC, Herold Goulon untuk TFC mendahului 1-0.

Lima minit berselang, NSFC yang lebih banyak bertahan berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain import Filipina, Omid Nazari berpunca sepakan percuma Annas Rahmat.

Tersentak jaringan pelawat, tuan rumah memperkemaskan asakan, pada minit ke-38, Faisal yang mendapat umpanan daripada Shahrul Nizam Ros Hasni bijak memperdaya dua pertahanan lawan sebelum berjaya melakukan rembatan padu dalam kotak penalti untuk pasukannya mendahului 2-1.

Bersambung babak kedua, pengendali NSFC, K Devan memasukkan dua lagi tenaga import, Kossi Adetu dan David Mawutor bagi menambah sengat terutama di jentera serangan, namun kekentalan pertahanan tuan rumah berjaya menggagalkan usaha pelawat.

Skuad tuan rumah juga mendapat peluang terbaik untuk menambah jaringan menerusi tolakan Sherman pada minit ke-71 berpunca daripada kesilapan pertahanan, namun bola tidak bergolek dalam gawang gol pelawat.

Empat minit berselang, penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan dan digantikan dengan Suhaimi Husin.

Pada minit ke-80, kecekapan penjaga gol gantian berjaya menghalang percubaan Mawutor melalui tandukan hasil sepakan sudut Annas sekali gus terselamat pintu gol tuan dan kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 3:17 AM