PEMAIN TFC II, Rizuan Mohd Razali (kanan) terjatuh selepas diasak oleh pemain UKM FC, Ignatius Adukor pada aksi perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC II, Rizuan Mohd Razali (kanan) terjatuh selepas diasak oleh pemain UKM FC, Ignatius Adukor pada aksi perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) kempunan untuk mengutip tiga mata walaupun mendahului 2-0 sebelum terikat 2-2 dengan UKM FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

TFC II yang tewas pada tiga aksi berturut-turut sebelum ini tampak bergelut untuk memecah benteng pertahanan pelawat pada awal permainan biarpun mendominasi perlawanan.

Sebaliknya UKM FC yang dibimbing Sulaiman Hussin terlebih dulu mencemaskan benteng tuan rumah menerusi percubaan Muhamad Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-16 hasil lorongan Lee Seong Woo, namun sedikit tersasar.

Dua minit berselang, pemain pertahanan The Turtles, Che Mohamad Arif Che Kamarudin menceriakan kem tuan rumah apabila melakukan tandukan terbang hasil sepakan percuma Mohd Amirul Hafizul Samsol untuk pasukannya mendahului 1-0.

Seminit berselang, kapten TFC II, Bruno Suzuki mengukuhkan kedudukan apabila memperoleh peluang terbuka di depan gawang sebelum berjaya melakukan rembatan kencang dari dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol, Mohd Remezy Che Ros.

Pada minit ke-30, Suzuki sekali lagi berpeluang menambah jaringan pasukannya menerusi tandukan mengelirukan tapi mujur berjaya ditepis keluar penjaga gol sekali gus terselamat kubu pelawat.

Sedar skuadnya kerap ditekan, skuad The Varsity Boys memperkemaskan gerakan pada babak kedua dengan aksi lebih tersusun, hasilnya pada minit ke-47 Muhamad Baqiuddin tidak mempersiakan peluang apabila merembat kencang untuk merapatkan kedudukan 2-1.

Pasukan tuan rumah kendalian Roshadi Wahab terlepas peluang menambah jaringan pada minit ke-60 menerusi Suzuki selepas bola tolakannya berjaya dibaca penjaga gol, begitu juga percubaan Jordan Mintah seminit kemudian berjaya dikeluarkan pemain pertahanan ketika penjaga gol sudah tertewas.

Ketika saingan berbaki lima minit untuk ditamatkan, Muhammad Baqiuddin sekali lagi muncul watak penting pasukannya apabila berjaya menyamakan kedudukan 2-2 selepas bijak memanfaatkan peluang dalam kotak penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 11:13 PM