PEMAIN Terengganu FC,  Shahrul Nizam (kiri) berebut bola dengan penyerang JDT Bergson Da Silva, pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN Terengganu FC,  Shahrul Nizam (kiri) berebut bola dengan penyerang JDT Bergson Da Silva, pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di persada liga selepas menang 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Menerusi kemenangan itu, JDT mengumpul 38 mata hasil 14 perlawanan manakala TFC kekal di tempat kelima dengan 17 mata menerusi 13 perlawanan.

Terdahulu skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain yang mahu membalas dendam kekalahan 1-2 pada aksi pusingan pertama April lalu bermula garang dengan percubaan pertama menerusi Kpah Sherman pada minit ke-9 yang berjaya disekat pertahanan pelawat.

Dua minit berselang, pemain pinjaman, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim perlu menyalahkan diri sendiri selepas gagal menyempurnakan peluang terbaik untuk mendahului skuad Harimau Selatan itu selepas tendangannya tersasar di sebelah kanan pintu gol pelawat.

TFC yang turun tanpa kelibat pemain sayap lincah, Mohd Faisal Halim dan pemain import, Manuel Ott, terpaksa merelakan seorang lagi tonggak import, Petrus Shitembi direhatkan pada minit ke-16 kerana cedera dan digantikan dengan Mohamad Hakimi Abdullah.

Skuad kendalian Hector Bidoglio memperkemaskan asakan dan pada minit ke-29, penjaring terbanyak skuad itu, Bergson Da Silva hampir memecah kebuntuan gol, namun tendangannya terkena tiang.

Bagaimanapun pada minit ke-31, Bergson yang mendapat umpanan jarak jauh daripada Mohd Afiq Fazail, tidak melepaskan peluang terbaik itu apabila menyumbat gol pertama untuk pasukannya mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, skuad pelawat tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kedua menerusi rembatan dari luar kotak penalti Fernando Forestieri pada minit ke-47 yang gagal ditepis Rahadiazli Rahalim..

Pada minit ke-50, TFC merapatkan kedudukan 1-2 selepas sepakan percuma Mohamad Hakimi dari jarak kira-kira 20 meter gagal dibaca penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.

Tiga minit selepas itu, Nik Muhammad Sharif Haseefy berpeluang untuk menyamakan kedudukan selepas mendapat peluang di sebelah kanan pintu gol hasil umpanan Sherman, namun rembatannya sedikit tersasar dan kedudukan kekal memihak kepada JDT 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 11:10 PM