PEMAIN Terengganu FC meraikan jaringan gol pada perlawanan Suku Akhir Kedua Piala Malaysia  menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu FC meraikan jaringan gol pada perlawanan Suku Akhir Kedua Piala Malaysia  menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia selepas menumpaskan juara bertahan, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 3-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Dengan kejayaan itu, Gergasi Pantai Timur menang dengan agregat 4-1 selepas berjaya menumpaskan pasukan itu 1-0 pada aksi pertama dan bakal membuat perhitungan dengan Selangor FC di peringkat separuh akhir.

Berbekalkan hampir 26,000 peminat setia, skuad kendalian Nafuzi Zain terlebih dahulu mengancam kubu skuad The City Boys pada minit kesembilan menerusi penyerang sensasinya Kpah Sherman, namun percubaan pemain kelahiran Liberia itu sedikit sipi di sebelah kiri pintu gol pelawat.

Empat minit berselang, kubu pelawat sekali lagi diuji menerusi penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche selepas mendapat hantaran daripada pemain tengah, Manuel Ott, namun percubaan pemain itu sedikit tinggi sekali gus terselamat gawang pelawat yang dikawal Kevin Mendoza.

Usaha berterusan skuad Penyu akhirnya membuahkan hasil apabila Ott yang tidak dikawal merembat kencang dari dalam kotak penalti pada mint ke-21 untuk pasukannya mendahului 1-0.

Tersentak jaringan itu, skuad kendalian Bojan Hodak memperkemaskan asakan, pada mint ke-27 skuad itu hampir menyamakan kedudukan menerusi hantaran Stephen Lambert yang terkena kaki pemain tuan rumah, Pape Diakite, tapi pertahanan kiri, Muhammad Alif Zakaria pantas mengeluarkan bola atas garisan gol ketika penjaga gol, Rahadiazli Rahalim sudah tertewas.

Bagaimanapun pada masa kecederaan babak pertama, pelawat akhirnya berjaya menyamakan kedudukan selepas penyerang muda, Haqimi Azim Rosli mudah menolak masuk gol hasil hantaran silang kapten, Paulo Josue.

Permulaan babak kedua jelas menjadi millik skuad The City Boys selepas mereka kerap menyerang kubu tuan rumah sehingga memaksa pertahanan bekerja keras menghalang asakan daripada rangkaian pemain pelawat.

Berpunca daripada sepakan percuma, Ott yang melihat Tchetche tidak dikawal mengumpan bola kepada pemain itu sebelum Tchetche bijak menghidu peluang menewaskan Mendoza untuk pasukannya mendahului 2-1 pada minit ke-62.

Ketika perlawanan dilihat berakhir dengan keputusan 2-1, Sherman bijak menghidu peluang pada mint ke-89 berpunca hantaran silang pemain gantian, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim untuk keputusan muktamad 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 11:33 PM