PEMAIN import TFC, Habib Haroon (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menang 2-0 ke atas KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN import TFC, Habib Haroon (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menang 2-0 ke atas KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) bagaikan melepaskan geram apabila menumpaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Skuad kendalian Nafuzi Zain yang berehat hampir dua bulan daripada beraksi dalam saingan kompetitif kerana penjadualan semula perlawanan bermula garang menerusi rembatan kencang pemain skuad Bawah 23 (B-23) kebangsaan, Muhammad Hairiey Hakim Mamat pada minit ke-14 yang terkena palang.

Skuad Penyu yang menurunkan gandingan penyerang utamanya, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman terus mengasak untuk memburu gol pendahulu, namun percubaan Tchetche pada minit ke-18 mudah dibaca penjaga gol The City Boys, Kevin Mendoza.

Skuad kendalian Bojan Hodak berjaya 'mengunci mulut' 5,800 penyokong tuan rumah pada minit ke-20 apabila kapten, Paulo Josue meledak gol hasil hantaran Zhafri Yahya, bagaimanapun jaringan itu dibatalkan pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahab kerana Josue dikesan berada dalam keadaan ofsaid.

Lima minit berselang, bekas pertahanan TFC, Kamal Azizi Mohamad Zabri hampir meletakkan namanya sebagai penjaring, namun percubaan dari luar kotak penalti terkena palang ketika penjaga gol, Suhaimi Husin sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, rembatan pemain import TFC dari Filipina, Manuel Ott dalam kotak penalti pada minit ke-58 sekadar terkena tiang.

Menyedari keampuhan benteng pelawat, Nafuzi memasukkan pemain baharu, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim bagi menggantikan Faiz Nasir.

Perubahan itu berhasil apabila tuan rumah memperoleh gol pertama menerusi rembatan kencang dari jarak 25 meter, Habib Haroon untuk pasukannya mendahului 1-0 pada minit ke-75.

Enam minit berselang, stadium gamat lagi apabila Ott menambah jaringan kedua menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti menewaskan rakan senegaranya di pintu gol pelawat.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut diraih skuad dari Pantai Timur itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 11:15 PM