SITI Faidul Maisarah (tengah jaket kuning) dalam pelancaran KLWFC semalam. FOTO Ihsan KLWFC
SITI Faidul Maisarah (tengah jaket kuning) dalam pelancaran KLWFC semalam. FOTO Ihsan KLWFC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bagi memartabat dan mencungkil bakat pemain bola sepak wanita Kejohanan Bola Sepak Wanita Kuala Lumpur (KLWFC) diperkenalkan dengan membabitkan enam pasukan yang akan mengambil bahagian dari bermula semalam hingga 26 Disember ini.

Pengurus Program KLWFC, Khushairi Aizad Jamalludin berkata KLWFC adalah platform terbaik untuk golongan wanita mengasah dan mencungkil bakat dalam sukan bola sepak.

"Sejak pandemik Covid-19, banyak program bola sepak wanita tidak boleh dilaksanakan jadi KLWFC adalah permulaan yang baik untuk mengetengahkan bakat pemain bola sepak wanita dan dalam masa sama mereka mempunyai platform untuk menonjolkan diri," katanya dalam sidang media selepas perasmian kejohanan berkenaan semalam.

Ujar Khushairi kejohanan itu juga dijalankan dengan sistematik di mana mereka turut mempunyai statistik perlawanan dan pemain selain mempunyai rakaman aksi tumpuan setiap perlawanan.

"Ia satu penjenamaan yang baik bagi bola sepak wanita untuk menarik penaja dari sektor korporat bersama-sama dalam membangunkan bola sepak wanita, selain memberi ruang buat kelab komuniti membuktikan kemampuan masing-masing.

"Kita harap ia tidak terhenti di sini tapi bersambung ke tahun depan agar ia menjadi satu fenomena di Kuala Lumpur sekali gus melahirkan pemain bola sepak wanita yang berkualiti," katanya.

Aksi pemain yang mengambil bahagian dalam KLWFC.
Aksi pemain yang mengambil bahagian dalam KLWFC.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah mengucapkan tahniah di atas penganjuran kejohanan berkenaan kerana ia satu usaha yang baik serta sangat bermakna buat bola sepak wanita.

"Kejohanan seperti ini diharapkan menjadi satu fenomena dengan setiap negeri mengambil inisiatif mengadakan liga sosial khas buat golongan wanita. Ia juga adalah satu medium untuk kita gunakan bagi mencari lebih ramai pemain.

"Saya harap bakat mereka bukan saja diketengahkan di sini tapi sehingga mewakili negara dan mengangkat nama Malaysia di kejohanan antarabangsa. Ia juga sedikit sebanyak membuka mata wanita juga boleh maju ke depan dalam sukan bola sepak," katanya.

Antara pasukan yang bertanding di KLWFC ialah Setiawangsa Rangers FC, Dinolove FC, KL Sunbears, Hypernova Girls FC, Catalan FC dan Wonder Girls FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 3:10 PM