DR Siti Faidul Maisarah (kiri) dan Dr Muhamad Akmal.
DR Siti Faidul Maisarah (kiri) dan Dr Muhamad Akmal.
Amir Mamat

Melaka: Barisan Nasional (BN) Melaka dijangka mengenengahkan 60 peratus muka baharu dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November ini.

Daripada jumlah itu, hampir sebahagian daripadanya adalah calon muda yang mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang selain berpengalaman luas dalam politik serta aktiviti sosial.

Antara nama yang disebut-sebut termasuklah Penolong Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Berpengalaman luas sebagai pentadbir dan pendidik, Siti Faidul Maisarah, 38 yang tinggal di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah turut aktif dalam politik apabila dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Masjid Tanah yang diketuai Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Selain itu, beliau turut aktif dalam bidang sukan apabila dipilih sebagai EXCO Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) sesi 2020-2023 selain dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Pengurus Pasukan Piala Tun Sharifah Rodziah Melaka United.

Beliau juga kerap melakukan aktiviti kebajikan dan sosial di lapangan menerusi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta politik.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh turut disebut-sebut bakal dinamakan sebagai calon PRN kali ini.

Doktor perubatan berusia 33 tahun itu aktif dalam aktiviti kemasyarakatan menerusi beberapa NGO seperti Gerakan Belia 4B, sejurus tamat pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Russian State Medical pada 2013.

Menerusi aktiviti kebajikan dan sosial yang dijalankan, Dr Muhammad Akmal kini dikenali penduduk setempat sebagai antara penggerak kebajikan, malah beliau kerap turun padang dalam aktiviti khidmat masyarakat bagi meringankan beban penduduk yang ditimpa musibah.

Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Umno Luar Negara bagi Kelab Pelajar Rusia antara 2010 sehingga 2012.

Ketika ini, beliau turut diberi tanggungjawab sebagai Naib Ketua Pemuda Umno Melaka, Timbalan Presiden Briged Negaraku serta Ketua Pemuda Umno Cawangan Merlimau Tengah selain pernah dilantik sebagai Ketua Pasukan Perubatan Biro Kebajikan Umno (BIKUM) pada 2017.

Sebelum ini, Ab Rauf menyatakan pihaknya sedang menilai 60 peratus muka baharu untuk dinamakan sebagai calon BN pada PRN Melaka, selain meneliti prestasi penyandang kerusi DUN sedia ada sama ada masih layak dicalonkan semula atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 6:34 PM