PERLIS United FC mengejutkan PDRM FC dalam saingan Piala FA. -FOTO Ihsan Perlis United FC
PERLIS United FC mengejutkan PDRM FC dalam saingan Piala FA. -FOTO Ihsan Perlis United FC
Oleh Aizat Sharif


Kangar: Dua kemenangan dalam masa empat hari di gelanggang lawan yang sama ternyata memberi motivasi yang tinggi kepada pemain kelab dari Liga Malaysia Divisyen 3 (M3), Perlis United FC untuk terus melakarkan lagi momentum kemenangan dalam usaha memastikan kelab itu terus berada di landasan sebenar kejuaraan.

Selepas mencatatkan kemenangan pertama musim ini dengan jaringan 3-2 ke atas tuan rumah Kuala Lumpur (KL) Rovers dalam saingan Liga M3 di Stadium KLFA, Cheras minggu lalu, kelab yang berpangkalan di Kangar itu sekali lagi membuka mata semua pihak apabila mengejutkan kelab Liga Perdana, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) FC dengan kemenangan 2-0 di gelanggang yang sama pada Rabu lalu.

Malah, kejayaan itu membuatkan Perlis United FC menjadi kelab pertama dari Liga M3 yang layak ke pusingan kedua Piala FA 2022 dan akan bertemu pesaing dari Liga Super dan Liga Perdana selepas ini.

Pengendali Perlis United FC, Azizul Abidin bagaimanapun enggan mendabik dada di atas dua kemenangan yang dicapai oleh anak buahnya itu kerana perjalanan Liga M3 dan Piala FA masih jauh dan penuh berliku.

"Saya lihat kemenangan menentang KL Rovers pada Ahad lalu sebagai motivasi kepada pemain saya untuk meneruskan lagi momentum kemenangan ini dalam saingan Piala FA pula.

"Apabila kita menang ke atas pasukan KL Rovers di gelanggang mereka dan mereka dianggap sebagai antara pesaing terkuat dalam Liga M3 ini maka ia secara tidak langsung menaikkan keyakinan pemain bahawa mereka mampu memberi saingan yang padu kepada PDRM FC untuk sekurang-kurangnya melakukan kejutan kemenangan.

"Namun begitu, kita tidak boleh terlalu mendabik dada dan terus dibuai dengan merayakan dua kejayaan ini kerana ini masih terlalu awal dan kita masih mempunyai banyak lagi perlawanan yang jauh dan berliku untuk ditempuhi selepas ini" katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Perlis United FC akan berdepan kelab Respect FC dari Perak dalam saingan Liga M3 di Kompleks Bola Sepak Perak, Ipoh pada Ahad ini sebelum kembali semula ke Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 31 Mac untuk bertemu kelab Bukit Tambun FC dari Pulau Pinang.

End

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 1:24 PM