PEMAIN TFC meraikan jaringan ketika menentang KL Rovers di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC meraikan jaringan ketika menentang KL Rovers di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menasihati anak buahnya agar tidak mendabik dada susulan kejayaan menumpaskan Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers FC) dengan agregat besar, 7-0 dalam aksi pusingan 16 Piala Malaysia.

Jurulatih kelahiran Croatia itu juga turut mengingatkan pemainnya agar tidak begitu selesa dan dibuai mimpi indah, sebaliknya perlu meningkatkan tahap permainan kerana laluan masih berliku untuk mara ke final.

Pada aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi, skuad Penyu yang mempunyai bekalan empat jaringan tidak berdepan masalah menumpaskan pasukan Liga M3 itu 3-0 hasil dua jaringan Nor Hakim Hassan dan Liridon Krasniqi.

"Saya puas hati dengan corak permainan pada malam ini (malam tadi) sekali gus menyaksikan kita menang dengan agregat besar 7-0 tanpa bolos, malah pemain pun tidak ada kecederaan yang serius dialami.

"Ia sesuatu yang positif buat pemain dan pasukan untuk terus menang, lagipun kali terakhir TFC tewas ketika berdepan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Jun lalu, selain itu kami seri dan menang.

"Saya juga gembira kerana pemain yang kurang dan tidak pernah beraksi juga menunjukkan persembahan yang begitu baik dan meyakinkan.

"Tapi saya ingatkan pemain agar tidak terlalu selesa dan mendabik dada kerana laluan untuk melangkah ke pentas final masih lagi berliku, pemain harus meningkat lagi kualiti permainan selain tidak melepaskan peluang terhidang untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan," kata Steinbruckner selepas tamat perlawanan malam tadi.

TFC yang sudah layak ke suku akhir bakal berdepan sama ada Selangor FC ataupun PDRM FC yang bakal beraksi pada hari ini selepas skuad The Red Giants itu menang 4-1 pada aksi pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2023 @ 2:51 PM