Kangar: Wakil tunggal Liga Malaysia Divisyen 3 (M3), Perlis United FC (PUFC) optimis untuk melakar satu lagi kejutan dalam saingan pusingan kedua Piala FA bagi memastikan pasukan itu dapat melangkah ke peringkat suku akhir piala berkenaan.
Kelab yang berpangkalan di Kangar itu diundi bertemu dengan wakil Liga Premier dari Sarawak iaitu Kuching City FC dalam undian yang dijalankan pada Rabu lalu dan perlawanan yang dijangka berlangsung sekitar pertengahan bulan hadapan itu di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Pengendali PUFC, Azizul Abidin berkata, meskipun di atas kertas, Kuching City FC dianggap sebagai pilihan namun itu bukanlah penghalang kepada PUFC untuk sekali lagi mencipta kejutan selepas menewaskan kelab Liga Premier, Polis DiRaja Malaysia FC (PDRM FC) pada pusingan pertama Piala FA di gelanggang lawan.
"Jika kita lihat atas kertas, sudah tentulah Kuching City FC jadi pilihan untuk memenangi perlawanan kerana mereka mempunyai kelebihan dari segi pemain import.
"Malah, mereka juga diperkuatkan dengan bekas pemain kebangsaan yang juga kapten kelab itu, Joseph Kallang Tie jadi segalanya nampak berpihak kepada mereka," katanya.
Katanya, disebabkan perkembangan itu juga, beliau berharap sokongan 'Pemain Ke-12' iaitu penyokong PUFC sendiri dapat menyemarakkan lagi semangat kelab itu untuk menampilkan aksi yang lebih padu dalam usaha untuk meraih kemenangan.
"Saya mengharapkan 'Pemain No 12' kita dapat memberikan sokongan yang jitu di belakang pasukan untuk kita mendapatkan kemenangan.
"Sudah lama kelab dari Perlis tidak beraksi sejauh ini dalam saingan tertinggi pertandingan bola sepak domestik negara seperti Piala FA ini.
"Dalam masa yang sama juga, kita tetap memberi fokus kepada saingan Liga M3 yang akan memulakan semula saingan pada 7 Mei hadapan selepas dihentikan bagi memberi laluan kepada Ramadan," katanya.
FUFC selepas ini akan bertemu kelab dari Kuala Kangsar, BRM FC di Stadium Manjung sebelum kembali semula ke Kangar pada 14 untuk menentang Tok Janggut Warriors FC dari Kelantan di mana perlawanan pusingan kedua Piala FA itu.