PASUKAN THT ungguli LHM minggu lalu.
PASUKAN THT ungguli LHM minggu lalu.

Kuala Terengganu: Biarpun merangkul kejuaraan Liga Hoki Malaysia (LHM) minggu lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak mahu memandang mudah pertemuan dengan Maybank pada separuh akhir pertama Piala TNB 2014 di sini, esok.

Sebaliknya, pengurus THT Sabri Salleh menegaskan, masih ada kelemahan diperlu diperbaiki anak didik Sarjit Singh serta perlu berwaspada dengan perubahan rentak pasukan lawan.

THT yang mendapat ‘bye’ pada suku akhir akan membuka gelanggang di Stadium Hoki Batu Buruk sebelum bertandang ke Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini.

“Pertemuan separuh akhir pertama pasti tidak mudah kerana Maybank mempunyai barisan pemain berpengalaman serta pemain importnya dari Pakistan perlu diberi perhatian,” katanya.

Bagaimanapun, yang penting kata Sabri adalah membawa bekalan selesa sebelum bertandang ke Bukit Jalil pada separuh akhir kedua.

“Kemenangan selesa di sini akan menyuntik semangat pemain meneruskan saingan hingga ke final,” katanya.

Walaupun rekod pertemuan dengan Maybank dalam saingan liga memihak kepada THT, namun katanya, pasukan Pantai Timur itu tidak mahu mendabik dada kerana tiada siapa berhak dilabel sebagai pasukan pilihan pada separuh akhir.

Dalam saingan liga, THT mengalahkan Maybank 4-3 pada pertemuan pertama di Bukit Jalil dan meneruskan momentum dengan membenam pasukan itu 6-1 pada pertemuan kedua liga di sini.

Sabri berkata tonggak pasukan, Engku Abdul Malik Engku Mohammad masih belum pulih daripada kecederaan dialami dalam saingan liga musim ini.

Bagaimanapun, katanya, mereka mempunyai barisan pemain mantap dengan bantuan empat pemaim import Korea Selatan untuk memburu gelaran berganda musim ini. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:16 AM