FAIZ Subri turut membarisi pasukan Yakult All Star.
FAIZ Subri turut membarisi pasukan Yakult All Star.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Dana sebanyak RM300,000 disasarkan dapat dicapai pada perlawanan bola sepak amal membabitkan pemain bola sepak kebangsaan bagi membantu Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDEAF) mengumpul dana pembangunan sukan untuk 2022.

Perlawanan amal itu antara pasukan Harimau Pekak Malaysia dan pasukan Yakult All Star yang akan berlangsung pada 11 Disember 2021 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Pasukan Yakult All Star bakal membabitkan ramai nama besar bola sepak tempatan seperti Indra Putera Mahyudin, Zaquan Adha, Syed Adney, Baddrol Bakhtiar, Faiz Subri, Azmi Muslim, Shukor Adan, Norshahrul Idlan Talha, Nurshamil Abdul Ghani, Razman Roslan, Azmeer Hj Yusof serta beberapa lagi yang lain.

Turut membarisi pasukan Yakult All Star adalah pemain legenda bola sepak Jepun, Masashi Motoyama, serta beberapa pemain Jepun yang beraksi di Liga Malaysia seperti Yuta Suzuki, Yuki Tanigawa, Akira Higashiyama, Shuhei Fukai serta Bruno Suzuki.

Kejohanan yang mendapat sokongan sepenuhnya dari Majlis Sukan Negara (MSN) itu juga mendapat perhatian banyak syarikat terkemuka Jepun yang berada di Malaysia untuk menyumbang selaku penaja utama untuk kejohanan ini.

Program cetusan idea Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada itu akan dijadikan sebagai acara tahunan oleh pihak Yakult Malaysia dan diperluaskan lagi sumbangan untuk badan-badan sukan yang lain pada masa akan datang.

"Kami berharap dana dikumpulkan ini nanti dapat menyokong pasukan Harimau Pekak Malaysia untuk persediaan dalam perlawanan tempatan dan antarabangsa.

"Harimau Pekak Malaysia kini berada dalam kumpulan 24 pasukan terbaik dunia dan menduduki tempat ke-6 di Asia Pasifik (2018) serta ke-2 Asean (2016) untuk sukan bola sepak pekak.

"Saya menyeru supaya jangan lepaskan peluang untuk hadir beramai-ramai menyaksikan perlawanan amal yang julung-julung kali diadakan ini. Anda juga boleh menyumbang kepada dana amal ini melalui pembelian tiket Raffle ataupun menyumbang semasa sesi lelongan barangan sukan yang akan di jalankan pada 11 Disember nanti. Penyumbang tertinggi akan memiliki barangan sukan yang mempunyai autograf pemain pilihan anda," kata Hamada pada sidang media, hari ini.

Orang awam boleh melayari laman sesawang Yakult Malaysia di www.yakult.com.my untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 5:54 PM