HAMADA menandatangani dokumen kerjasama. FOTO FB Terengganu Football Club
HAMADA menandatangani dokumen kerjasama. FOTO FB Terengganu Football Club
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) berpeluang menghantar pemainnya berguru di Jepun selepas menjalin kerjasama dengan pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult Malaysia Sdn Bhd di pejabat TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Berita gembira itu dinyatakan Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada yang bersedia menawarkan tempat buat pemain muda TFC menimba ilmu di negara Matahari Terbit itu.

"Selepas perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Operasi (COO) TFC Sdn Bhd, mereka ada menyatakan keinginan dan minat untuk membangunkan pasukan bermula daripada akar umbi.

"Antara sebab itu juga kami bersetuju untuk bekerjasama dengan mereka dan memberi peluang kepada pemain muda berlatih di Jepun. Ini juga merupakan salah satu misi syarikat kami untuk menyumbang apa yang mampu untuk industri bola sepak di Malaysia terutama dalam mencungkil bakat baharu bermula dari bawah lagi.

"Kami berharap wabak pandemik Covid-19 ini akan berakhir dan dapat sama ada membawa sekurang-kurangnya seorang pemain Terengganu ke Jepun ataupun membawa seorang jurulatih Jepun ke Terengganu," katanya selepas majlis menandatangani kerjasama kedua-dua syarikat itu hari ini.

Terdahulu melalui kerjasama itu, TFC yang diwakili CEO, Ab Rasid Jusoh manakala Yakult diwakili Hamada menaja skuad Penyu sebanyak RM380,000 selain program pembangunan bola sepak akar umbi bersama pasukan itu.

Sementara itu Ab Rasid menyifatkan kerjasama itu permulaan yang baik untuk musim ini.

"Ia satu petanda positif untuk kerjasama jangka panjang dalam pembangunan bola sepak bermula daripada akar umbi lagi di negeri ini selain Liga M musim ini dan berharap membawa faedah yang besar kepada sukan bola sepak negeri melalui program yang bakal dilaksanakan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 11:54 PM