KHAIRUL tekad menyerlah tahun depan.
KHAIRUL tekad menyerlah tahun depan.
Haika Khazi


PENJAGA gol utama skuad Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek, kini memasang impian untuk kembali merebut status penjaga gawang nombor satu skuad Harimau Malaya, mulai tahun depan.

Apek yang pernah membantu membantu Harimau Malaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 dan pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011 mengakui dia perlu bekerja keras dan mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2018 jika mahu memikat hati jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada.

“Saya rindu untuk kembali beraksi mewakili negara di pentas antarabangsa dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik jika terpilih untuk menyarung kembali jersi kebangsaan.

“Saya akan terus berlatih meningkatkan prestasi ke tahap yang terbaik serta membantu Kelantan pada saingan Liga M,” katanya selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah pertandingan kuiz dan peraduan “Minum Yakult Sihat Sokmo” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, Pasir Mas, Kelantan, hari ini.

Program itu turut dihadiri, Pengarah Urusan Yakult (Malaysia), Hiroshi Hamada.

Peraduan yang disertai oleh 51 sekolah di Kelantan itu dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkal Kalong, Ketereh, yang meraih hadiah pakej lawatan selama lima hari ke Jepun.

Pada masa sama, Apek meminta peminat The Red Warriors (TRW) supaya bersabar dan memberikan masa kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk memperbaiki kelemahan serta meningkatkan kembali prestasi pasukan pada musim depan.

“Saya berharap peminat dapat bersabar dan memberikan sepenuh sokongan kepada pengurusan baharu ini. Saya yakin mereka akan melakukan yang terbaik bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 9:40 PM