OTAMENDI mengangkat Raphinha selepas sikunya terkena pemain itu. FOTO - AFP
OTAMENDI mengangkat Raphinha selepas sikunya terkena pemain itu. FOTO - AFP
AFP

Asuncion: Dua pengadil Uruguay menerima padah apabila digantung oleh badan induk bola sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) susulan insiden menyiku membabitkan pemain ketika perlawanan Argentina-Brazil dalam aksi kelayakan Piala Dunia semalam.

Pada minit ke-33, pertahanan Argentina, Nicolas Otamendi menyiku pemain sayap Brazil, Raphinha di muka sehingga mulutnya berdarah dan ada laporan menyatakan dia memerlukan sehingga lima jahitan.

Bagaimanapun, pengadil Andres Cunha tidak mempedulikan insiden itu malah pegawai VAR, Daniel Ostojich tidak berminat menelitinya.

Komisioner pengadil CONMEBOL menegaskan kedua-dua pengadil terbabit melakukan kesalahan serius ketika menjalankan tugas.

Menurutnya, Otamendi bersalah membahayakan fizikal Raphinha dengan menyiku muka pemain lawan.

Keputusan perlawanan 0-0 membolehkan Argentina mengiringi Brazil ke Piala Dunia di Qatar tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 8:11 AM