AKSI Otamendi menjaringkan gol kemenangan  Argentina. FOTO Reuters
AKSI Otamendi menjaringkan gol kemenangan Argentina. FOTO Reuters
AFP

Rio de Janeiro: Argentina menewaskan Brazil 1-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 yang dicemari keganasan penonton sebelum perlawanan bermula pagi tadi.

Tandukan pertahanan veteran Nicolas Otamendi, 35, pada minit ke-63 memastikan kemenangan Argentina yang bangkit selepas tewas di tangan Uruguay minggu lalu.

Kemenangan di Stadium Maracana membolehkan Argentina menduduki tangga teratas zon Amerika Selatan dengan 15 mata daripada enam perlawanan.

Kekalahan ketiga Brazil dalam saingan kelayakan meninggalkan juara dunia lima kali itu di tangga keenam dengan tujuh mata daripada enam perlawanan.

Pergaduhan bermula di tempat duduk penonton sebelum sepak mula dengan polis Brazil menggunakan baton untuk menyuraikan sekumpulan penyokong lawan yang meluru ke penjuru padang.

Beberapa pemain Argentina cuba mententeramkan penyokong mereka termasuk penjaga gol Emi Martinez yang melompat ke tempat duduk penonton dan berkata sesuatu kepada polis Brazil.

Pemain Argentina yang diketuai Lionel Messi kemudiannya kembali ke bilik persalinan dengan Messi berkata: "Kami tidak akan bermain, kami pergi."

Juara Piala Dunia 2022 itu kemudiannya masuk semula ke padang dan perlawanan diteruskan selepas tertangguh 30 minit daripada jadual asal.

Insiden tegang sebelum perlawanan mempengaruhi perlawanan menyaksikan penyerang Brazil, Gabriel Jesus dilayangkan kad kuning selepas lima minit perlawanan bermula apabila mengasari Rodrigo De Paul.

Pemain sayap Brazil, Raphinha turut mendapat kad kuning minit ke-14 selepas menyiku muka De Paul dan bernasib baik tidak dilayang kad kedua apabila mengasari Alexis MacAllister

Brazil gagal melakukan sebarang percubaan tepat sehinggalah sepakan percuma Raphinha minit ke-38 terkena pertahanan lawan untuk sepakan sudut.

Skuad tuan rumah bermula garang selepas rehat namun

Martinez tangkas mengawal gawang terutama daripada percubaan Gabriel Martinelli dan Jesus.

Namun Argentina mendahului perlawanan minit ke-63 menerusi percubaan tepat pertama mereka sepanjang perlawanan.

Sepakan sudut Giovani Lo Celso dari sebelah kiri ditanduk masuk Otamendi yang melompat tinggi mengatasi pemain tengah Brazil, Andre untuk kedudukan 1-0.

Derita Brazil berterusan pada minit ke-82 apabila pemain gantian Joelinton dibuang padang selepas mengasari De Paul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 12:02 PM