BLATTER (kanan) bersama Napout di Asuncion.
BLATTER (kanan) bersama Napout di Asuncion.

Asuncion: Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) akan menyokong Sepp Blatter pada pemilihan presiden FIFA Mei ini, menurut sumber CONMEBOL semalam.

Blatter yang mengetuai FIFA sejak 1998, tiba di Asuncion semalam menjelang kongres CONMEBOL yang akan menyaksikan presiden Juan Angel Napout dari Paraguay kekal selama sepenggal lagi.

Sumber yang enggan namanya didedahkan, menghadiri mesyuarat jawatankuasa eksekutif CONMEBOL dan Amerika Selatan memberikan sokongan kepada Blatter ketika personaliti dari Switzerland itu mahu memegang tampuk bagi penggal kelima.

Beliau dicabar Michael van Praag dari Belanda, bekas bintang Portugal, Luis Figo dan Naib Presiden FIFA Putera Ali al-Hussein dari Jordan, semuanya dijangka menghadiri kongres itu bersama Blatter.

Presiden FIFA itu tiba di Asuncion ketika suhu meningkat 34 Celsius dengan jet peribadi dan menaiki helikopter untuk makan tengah hari bersama Presiden Paraguay Horacio Cartes.

Blatter akan mengadakan sidang akhbar selepas kongres itu dan dijangka ditanya mengenai pemilihan FIFA pada 29 Mei ini, cadangan debat dalam kalangan calon presiden dan prospek menganjurkan Piala Dunia 2022 di Qatar pada November dan Disember. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:28 AM