DUA perlawanan untuk setiap pasukan terpaksa ditangguhkan Mac lalu selepas disebabkan peraturan Covid-19. FOTO Agensi
DUA perlawanan untuk setiap pasukan terpaksa ditangguhkan Mac lalu selepas disebabkan peraturan Covid-19. FOTO Agensi
AFP

Asuncion: Pasukan Amerika Selatan sekali lagi disyorkan untuk beraksi dalam satu lagi pusingan tambahan bagi kelayakan Piala Dunia menjelang aksi rehat perlawanan antarabangsa selepas ini.

Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) cuba untuk mengadakan aksi yang tertangguh untuk satu lagi pusingan tambahan dan mereka akan beraksi pada 7, 10 dan 14 Oktober.

Dua perlawanan untuk setiap pasukan terpaksa ditangguhkan pada Mac lalu selepas kelab di Eropah enggan melepaskan pemain mereka disebabkan peraturan Covid-19.

Brazil dan Argentina pula mempunyai satu lagi pertemuan yang tertangguh 5 September lalu selepas ia dihentikan oleh pegawai kesihatan di Sao Paulo kerana pemain yang berpangkalan di Britain berada dalam skuad pelawat.

Walaupun kurang satu perlawanan berbanding pasukan lain Brazil yang dipimpin Neymar dan Argentina bertunjangkan Lionel Messi masih mengungguli kelompok teratas kelayakan berkenaan.

Lapan lagi pasukan sudah beraksi separuh daripada 18 perlawanan kelayakan benua berkenaan.

Pada rehat aksi antarabangsa Oktober depan, Brazil akan berkunjung ke Venezuela dan Colombia sebelum menanti kehadiran Uruguay di laman sendiri.

Argentina pula akan berkunjung ke Paraguay sebelum menunggu kehadiran Uruguay serta Peru.

Pelepasan pemain oleh kelab England mungkin akan kembali menjadi isu jika pihak berkuasa kesihatan Britain masih menyenaraikan negara Amerika Selatan sebagai zon merah dan perlu menjalani kuarantin 10 hari apabila pulang ke pangkuan kelab.

Ia akan menjadi isu jika Uruguay menyenaraikan Edinson Cavani yang beraksi bersama Manchester United dalam pertemuan menentang Brazil.

September lalu, Brazil memilih untuk tidak menyenaraikan sembilan pemain mereka yang berpangkalan di England dan Uruguay beraksi tanpa Cavani.

Bagaimanapun, Argentina masih menyenaraikan empat pemain yang bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL) sehingga menyebabkan pihak berkuasa kesihatan Brazil menghentikan perlawanan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 12:33 PM