AKSI pemain cilik ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala Yakult Aidil Zaquan bawah 12 tahun (U12), di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Durah (SMKTAD), Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
AKSI pemain cilik ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala Yakult Aidil Zaquan bawah 12 tahun (U12), di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Durah (SMKTAD), Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Hasbi Sidek

PEMAIN kebangsaan Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak bersama pasangan kembarnya, Mohamad Zaquan Adha Abd Razak menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Piala Yakult Aidil Zaquan bawah 12 tahun (U12), hari ini, bagi mencungkil bakat baru dalam sukan berkenaan.

Pertandingan anjuran Kelab Bola Sepak S2 (S2FC) yang diadakan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Durah (SMKTAD) bermula jam 8 pagi itu mendapat penyertaan 32 pasukan membabitkan 450 pemain dan pegawai.

Penaung S2FC, Mohamad Zaquan Adha berkata, kejohanan berkenaan bagi menyambut saranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melahirkan bakat muda dalam sukan bola sepak.

“Kami mengelolakan kejohanan bola sepak akar umbi menerusi ketegori U12. Sebanyak 32 pasukan dari beberapa negeri menyertai kejohanan berprestij ini membabitkan 450 orang pemain dan pegawai.

“Kejohanan kali ini adalah edisi yang keempat. Perkembangan, potensi dan peningkatan kelab di peringkat akar umbi boleh dilihat dalam melahirkan pemain berbakat untuk masa hadapan dalam menyahut seruan KBS , FAM dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP) bagi menyediakan platform untuk pemain di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Strategik Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias berkata, bidang sukan khususnya mempunyai karier yang cerah pada masa akan datang berdasarkan komitmen kerajaan yang mahu memajukan sukan berkenaan.

“Saya mahu pemain yang menyertai pertandingan pada hari ini menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam mencungkil bakat dan kemahiran bermain bola sepak masing-masing yang boleh dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur S2FC dan pemain bola sepak negara iaitu Aidil dan Zaquan selain rakan penaja yang menyediakan platform untuk mencungkil bakat pemain bola sepak di peringkat awal.

“Ia sedikit sebanyak membantu pihak kementerian dalam memajukan bidang sukan di negara ini,” katanya ketika ucapan pembukaan perasmian kejohanan berkenaan.

Antara tetamu hadir adalah, wakil KBS, pegawai dari NFDP, wakil penaja, bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan dan beberapa pemain dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 6:53 PM