HAVERTZ (tiga kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
HAVERTZ (tiga kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

London: Chelsea mengukuhkan kedudukan di tangga keempat Liga Perdana selepas Kai Havertz meledak dua gol ketika menewaskan Fulham 2-0, hari ini.

Skuad bimbingan Thomas Tuchel memperoleh tonik terbaik menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara bertemu Real Madrid di Stamford Bridge.

Havertz menjaringkan gol masing-masing di babak pertama dan kedua untuk membantu Chelsea selesa dengan kelebihan enam mata berbanding pasukan di tangga kelima, West Ham dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

"Kami menemui rentak. Itulah yang kami mahukan daripada diri sendiri. Kami menunjukkan penghormatan yang kami boleh capai, untuk melakukannya antara dua perlawanan besar," kata Tuchel.

"Kami tahu Fulham memberikan semua orang perlawanan yang sukar. Saya lebih daripada gembira. Kami tidak pernah kurang fokus."

Jaringan ketujuh dan kelapan Havertz dalam musim pertamanya di Chelsea menunjukkan pemain Jerman itu akhirnya kembali menemui sentuhan.

"Sudah tentu, inilah yang kami mahukan jika seseorang mendapat peluang. Dia menjaringkan dua gol penting dan dia terbabit bersama Timo Werner," kata Tuchel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 8:25 AM