WERNER (depan) berjaya menghadiahkan gol kemenangan buat Chelsea. FOTO EPA
WERNER (depan) berjaya menghadiahkan gol kemenangan buat Chelsea. FOTO EPA
AFP

London: Chelsea menguasai saingan untuk memastikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selepas jaringan Timo Werner membolehkan mereka menang 1-0 ke atas West Ham malam tadi.

The Blues sekarang ini mendahului perebutan tempat keempat tatkala Werner meledak gol kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 22 perlawanan untuk membolehkan mereka memiliki kelebihan tiga mata mengatasi West Ham yang berada di tempat kelima.

Thomas Tuchel melakukan enam perubahan dengan turut mengambil kira aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid Rabu ini.

Bagaimanapun, Chelsea bernasib baik selepas West Ham dihimpit masalah kecederaan membabitkan Michail Antonio, Declan Rice dan Aaron Cresswell.

"Saya rasa semua orang sangat memberi tumpuan dan hanya memberi fokus kepada perlawanan," kata Tuchel.

Werner gagal membuktikan nilainya yang berharga £50 juta (RM285 juta) sejak menyertai Chelsea dari RB Leipzig tahun lalu.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Jerman itu menamatkan kemarau dua bulan tanpa jaringan dengan penyudah tenang hasil hantaran lintang Ben Chilwell sebelum rehat.

Peluang The Hammers untuk menyamakan kedudukan musnah pada 10 minit terakhir apabila Faban Balbuena diperintah keluar padang kerana mengasari Chilwell ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

"Saya rasa ia keputusan yang teruk. Ia adalah keputusan yang dibuat oleh seseorang yang tidak pernah bermain bola sepak," kata jurulatih West Ham, David Moyes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 9:00 AM