AMD menurunkan empat pasukan yang terdiri daripada AMD A dan AMD B bagi Bawah 17 dan 16. FOTO Ihsan NFDP
AMD menurunkan empat pasukan yang terdiri daripada AMD A dan AMD B bagi Bawah 17 dan 16. FOTO Ihsan NFDP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Mahu memastikan ubi muda terus 'subur' walaupun tanpa sebarang aksi kompetitif menyebabkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) menganjurkan kejohanan Elite Youth Series 2021 bermula hari ini.

Menerusi kenyataan media NFDP memaklumkan bahawa kejohanan terbabit akan menghimpunkan pemain terbaik Bawah 16 dan 17 tahun Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) akan bertemu Skuad Piala Presiden dan Belia daripada pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC.

Hal ini, sekali gus bakal menyaksikan perlawanan tiga penjuru yang akan berlangsung selama seminggu di AMD, Gambang, Pahang.

"Pasukan AMD akan menurunkan empat pasukan yang terdiri daripada AMD A dan AMD B bagi Bawah 17 dan 16.

"Penganjuran kejohanan ini adalah salah satu usaha yang diambil oleh NFDP dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memberikan minit permainan yang cukup kepada pelatih di AMD selain daripada memberikan perlawanan yang bersifat kompetitif kepada setiap pelatih di AMD," katanya.

Selain itu, katanya, kejohanan terbabit antara pertandingan yang dianjurkan bagi memberi peluang akademi bola sepak terbaik di Malaysia berentap.

"Tujuannya adalah untuk menyediakan platform yang terbaik kepada pemain muda negara menyerlahkan bakat mereka berikutan sudah lama tidak turun beraksi akibat pendemik Covid 19.

"Kami berharap setiap pemain yang terbabit dalam kejohanan ini dapat memberikan aksi yang terbaik bagi meningkatkan mutu pembangunan bola sepak negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 7:16 PM