SKUAD B-17 gagal memenuhi sasaran di Piala Asia dekat Bangkok. FOTO FAM
SKUAD B-17 gagal memenuhi sasaran di Piala Asia dekat Bangkok. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kajian menyeluruh perlu dilakukan membabitkan Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) susulan kegagalan skuad bawah 17 (B-17) tahun negara di Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia memainkan peranan yang lebih besar dalam merancang dan menstruktur semula AMD agar dapat mencapai objektif penubuhannya sejak 2014 lalu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, AMD sudah melaksanakan apa yang mampu namun apa yang pasti perlu ada kajian semula dan secara menyeluruh tentang apa yang sedang dilakukan di AMD, kerana masih belum ada kejayaan yang sepatutnya diraih.

Malah, ia dilihat tidak berbaloi dengan apa yang sudah disalurkan kerajaan.

"Hakikatnya FAM harus melaksanakan program ini (Program Pembangunan Bolasepak Negara) dan menjaga akademi kebangsaan iaitu AMD," katanya.

Jelasnya lagi, penyertaan pasukan AMD dalam kejohanan peringkat belia juga perlu dilihat semula, dengan pendedahan lebih kompetitif diperlukan.

"AMD juga sejak Disember lalu hingga saat ini masih belum menggantikan Pengarah Teknikal, Dennis Bekking. Proses temuduga calon sesuai dijalankan dengan turut dipersetujui oleh MSN (Majlis Sukan Negara) dan FAM (Datuk S Sivasundaram dan Scott O'Donell Scott) namun masih sepi.

"Kita perlu menyemak dan melihat struktur pertandingan remaja. Pemain di AMD hanya bermain enam perlawanan pertandingan dalam Piala Presiden setakat tahun ini (enam perlawanan dalam enam bulan. Ianya tidak mencukupi.

"Pemain remaja kita perlu bermain bola sepak dengan lebih kompetitif. Ini akan membantu mereka lebih bersedia untuk jenis kejohanan seumpana ini.

"Bermain permainan persahabatan tidak sama dan tidak mencukupi, kita perlukan saingan yang lebih kompetitif bukan sahaja untuk mempersiapkan pasukan tetapi juga pemain secara individu dengan lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 3:46 PM