ENRIQUE menganggap mereka berjaya meletakkan diri antara lapan pasukan pilihan di Euro 2020. FOTO AFP
ENRIQUE menganggap mereka berjaya meletakkan diri antara lapan pasukan pilihan di Euro 2020. FOTO AFP
AFP

London: Sepanyol mengakhiri kempen Euro 2020 dengan gaya yang sama, barisan serangan sangat tumpul walaupun berjaya menguasai permainan, sekali gus membuka ruang buat Itali mara ke perlawanan akhir menerusi penentuan penalti.

Pasukan bimbingan Luis Enrique berjaya mengawal permainan sebanyak 65 peratus dan melakukan 20 percubaan ke arah pintu gol berbeza dengan Itali iaitu hanya 11 namun mereka segala lagi dikecewakan dengan tiada penyudah tajam.

Lebih menarik lagi dalam perlawanan pagi tadi, Alvaro Morata memegang dua watak sebagai wira dan pengkhianat.

Penyerang Juventus itu masuk sebagai pemain gantian untuk menjaringkan gol penyamaan menjadikan kedudukan terikat 1-1 dan aksi diheret ke masa tambahan sebelum gagal menyempurnakan penalti.

Morata gagal meledak jaringan sekali gus mengimbau kembali bagaimana permulaan perjalanan Sepanyol di Euro kali ini apabila mencatatkan dua keputusan seri yang mengecewakan di laman sendiri ketika menentang Sweden dan Poland.

Bagaimanapun, La Furia Roja dilihat kembali bangkit selepas meledak 10 gol dalam dua perlawanan menentang Slovakia serta Croatia di pusingan kedua.

Bagaimanapun, selepas mengatasi Switzerland yang beraksi dengan 10 pemain juga menerusi penentuan penalti di suku akhir, mereka menamatkan kejohanan ini dengan hanya menang sekali dalam enam perlawanan selepas masa sebenar.

"Bagi saya ia bukan malam yang menyedihkan. Ini adalah sukan elit dan anda harus tahu bagaimana untuk menang dan kalah.

"Saya berkata sebelum kejohanan kami adalah salah satu daripada lapan pasukan pilihan (untuk memenangi kejohanan). Saya tidak rasa saya silap.

"Kami akan pulang dengan keyakinan bahawa kami berjaya memberi tentangan dan di antara yang terbaik," kata Luis Enrique.

Selepas tiga tahun berdepan pelbagai masalah baik di dalam mahupun di luar padang, hanya setakat mara ke separuh akhir bukan perkara yang memalukan buat Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 7:36 AM