PENYERANG Sepanyol, mengangkat penumbuk selepas menjaringkan gol keempat ketika menewaskan Croatia di pusingan kedua Euro 2020, semalam. FOTO AFP
PENYERANG Sepanyol, mengangkat penumbuk selepas menjaringkan gol keempat ketika menewaskan Croatia di pusingan kedua Euro 2020, semalam. FOTO AFP
AFP

Copenhagen: Alvaro Morata menebus tempoh sukar bersama skuad kebangsaan sehingga dia dan keluarga menjadi mangsa penghinaan dengan peranan penting ketika Sepanyol ke suku akhir Euro 2020, semalam.

Dalam aksi dramatik yang berlanjutan ke masa tambahan selepas seri 3-3 dengan Croatia pada masa sebenar, penyerang Juventus itu merembat kencang gol pada minit ke-100 di Stadium Parken.

Ia memastikan Sepanyol kembali mendahului 4-3 selepas melepaskan dua gol pendahuluan 3-1 ketika perlawanan berbaki tujuh minit.

Selepas mengecewakan pada aksi awal kejohanan, Morata mengurangkan debaran penyokong Sepanyol apabila menahan bola hantaran Dani Olmo dengan kaki kanan sebelum merembat dengan kaki kiri melepasi penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic.

Mikel Oyarzabal melengkapkan malam gemilang Sepanyol tiga minit kemudian, tetapi prestasi Morata yang dipuji jurulatih, Luis Enrique, selepas perlawanan.

"Saya sudah beritahu sejak beberapa bulan lalu, kami tidak bergantung kepada seorang pemain untuk menjaringkan gol," kata Luis Enrique selepas perlawanan.

"Saya fikir tiada seorang pun jurulatih dalam dunia yang tidak menyanjungi dan meminati pemain seperti Alvaro Morata."

Morata mengangkat penumbuk ke udara di kawasan penyokong Sepanyol di sudut selatan stadium dan disambut dengan sorakan gamat, berbeza dengan kecaman diterima selepas seri 1-1 menentang Poland sehingga menyebabkan dia tidak lena tidur selama sembilan jam pada malam selepas perlawanan.

Di suku akhir di Saint Petersburg, Jumaat ini, Sepanyol akan menentang Switzerland yang menyingkirkan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti dan secara logiknya, Spain memiliki laluan mudah ke final.

Bagaimanapun, mereka perlu mengurangkan kesilapan mudah jika mahu menundukkan Switzerland yang membuktikan mereka turut mampu menghukum sikap ambil mudah, sama seperti Croatia.

Jika mereka terselamat apabila menentang Croatia, Sepanyol mungkin tidak boleh melakukan kesilapan sekiranya berdepan Itali atau Belgium di separuh akhir.

Mereka bukan saja melepaskan pendahuluan 3-1, malah menghadiahkan gol sendiri yang jarang berlaku menerusi tolakan ke belakang Pedri yang gagal ditampan Unai Simon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 9:14 PM