NURUL Ekleyma menunjukkan rumah kediaman keluarga yang musnah dalam kejadian kebakaran membabitkan empat rumah kedai di Kampung Beris Kubor Besar, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
NURUL Ekleyma menunjukkan rumah kediaman keluarga yang musnah dalam kejadian kebakaran membabitkan empat rumah kedai di Kampung Beris Kubor Besar, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias

Bachok: "Saya masih terkejut dengan kehilangan ibu saudara, hari ini diuji pula rumah kami terbakar," kata mangsa kebakaran membabitkan empat rumah kedai di Kampung Beris Kubor Besar, di sini, pagi tadi.

Nurul Ekleyma Mohamad, 38, berkata, salah sebuah rumah itu didiami arwah ibu saudaranya, Sailatunajida Shariff, 50 yang baru meninggal dunia akibat penyakit kencing manis, 15 hari lalu.

Katanya, sebelum ini memandangkan Sailatunajida tinggal bersendirian, dia dan suami, Mohd Tarmizal Zaharuddin, 41, bersama enam anak menemani wanita itu pada siang hari manakala pada waktu malam pulang ke Kampung Budi.

"Ketika kejadian, kami ada di Kampung Budi sebelum dimaklumkan jiran mengenai kebakaran.

"Saya sedih tiada lagi tempat tinggal yang menjadi kenangan saya dan ibu saudara sejak kecil, semuanya musnah, mujurlah saya masih simpan sehelai baju yang dipakai arwah sebagai kenangan akhir kami," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, hari ini.

Tiga lagi rumah kedai didiami saudara Ekleyma iaitu dua beradik, Azlizu Abdul Ghani, 54, dan adiknya, Faizul Abdul Ghani, 46, manakala sebuah lagi kedai menjual rokok elektrik.

Faizul berkata, ketika kejadian, dia sedang bersiap untuk bekerja sebelum terlihat api dalam bilik tidurnya.

Katanya, dia cuba menyiram api namun keadaan rumah yang seratus peratus daripada kayu menyebabkan api cepat merebak.

"Api terus menyambar bahagian tilam dan saya terus keluar selamatkan diri, mujur juga abang yang tinggal di rumah sebelah juga sempat keluar rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7 pagi.

Katanya, kebakaran membabitkan empat rumah kedai jenis sementara.

"Kebakaran membabitkan 80 peratus namun tidak membabitkan mangsa.

"Kebakaran berjaya dikawal jam 7.37 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 9.47 pagi," katanya dalam kenyataan kepada media.

Beliau berkata, punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 1:03 PM